Oleh: Armin Baniaz Pahamin

Gerakan Ekonomi Malaysia menzahirkan kebimbangan serius terhadap prestasi kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus hasil negara dan hala tuju ekonomi Malaysia.
Walaupun kerajaan ini tampil dengan janji reformasi fiskal, kebertanggungjawaban dan keadilan ekonomi, realitinya selepas dua tahun mentadbir, hasilnya mengecewakan dan tidak sepadan dengan harapan rakyat.
Malaysia memerlukan keberanian politik, bukan retorik populis. Kegagalan kerajaan Anwar untuk memperkukuh hasil negara dan memperjelas hala tuju ekonomi menunjukkan bahawa reformasi yang dijanjikan masih jauh daripada realiti.
Di sebalik janji perubahan, dasar fiskal dan ekonomi yang diamalkan masih bersifat konservatif, berhati-hati dan tidak membawa perubahan struktur yang mampu mengangkat kedudukan ekonomi negara secara mampan.
Secara khusus, pertumbuhan hasil negara kekal lembap dan tidak setara dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sebagai contoh, kerajaan memperkirakan hasilnya meningkat kepada kira-kira RM 322.1 bilion pada 2024, bersamaan dengan 16.5% daripada KDNK.
Namun menurut laporan, nisbah cukai kepada KDNK (revenue-to-GDP ratio) kekal sekitar 12.4 % pada 2023.
Nisbah hasil ini kekal rendah tanpa menunjukkan peningkatan struktur yang signifikan. Ini menunjukkan bahawa walaupun jumlah mutlak meningkat, pertumbuhan hasil masih lebih perlahan berbanding kapasiti ekonomi negara.
Tanpa reformasi menyeluruh terhadap sistem percukaian, Malaysia terus bergantung kepada asas hasil yang sempit dan rapuh serta sumber yang tidak kekal.
Tanpa pelaksanaan reformasi menyeluruh terhadap sistem percukaian, Malaysia akan terus bergantung kepada kitaran ekonomi yang tidak menentu dan sumber hasil yang tidak kekal.
Kerajaan juga gagal melaksanakan pembaharuan cukai yang menyeluruh. Langkah-langkah yang diumumkan setakat ini hanya tertumpu kepada pematuhan cukai sedia ada dan peluasan e-invoicing sedangkan reformasi sebenar seperti cukai kekayaan dan cukai karbon masih ditangguhkan atas alasan politik dan kebimbangan populariti.
Pendekatan ini menyebabkan peningkatan hasil negara kelihatan hanya pada permukaan, tanpa perubahan struktur jangka panjang yang benar-benar bermakna.
Dalam masa yang sama, kerajaan terus bergantung secara berlebihan kepada hasil tidak cukai seperti dividen, royalti dan sumbangan daripada syarikat berkaitan Kerajaan.
Kebergantungan ini amat berisiko kerana hasil sedemikian bergantung kepada harga komoditi global dan keuntungan korporat yang tidak menentu. Analisis menunjukkan bahawa pada 2022 kadar cukai negara hanya 12.2 % daripada KDNK, jauh di bawah purata Asia Pasifik iaitu 19.3%. Apabila harga minyak atau komoditi menurun, hasil kerajaan turut menjunam.
Keadaan ini mendedahkan kelemahan asas fiskal Malaysia dan menunjukkan bahawa kerajaan masih gagal membina sumber hasil yang mapan, berdaya tahan dan berasaskan ekonomi sebenar.
Masalah ini diperburuk oleh struktur perbelanjaan kerajaan yang terus berat kepada perbelanjaan mengurus berbanding pembangunan. Sebahagian besar peruntukan masih disalurkan kepada kos operasi termasuk bayaran faedah hutang, manakala pelaburan produktif yang dapat merangsang pertumbuhan jangka panjang semakin mengecil.
Dalam jangka panjang ia tidak menyumbang kepada produktiviti atau pertumbuhan ekonomi sebenar. Tanpa disiplin fiskal dan kecekapan pengurusan sumber, Malaysia berisiko terperangkap dalam kitaran defisit, hutang yang meningkat dan kehilangan daya saing serantau.
Lebih membimbangkan, hala tuju ekonomi kerajaan masih kabur dan gagal meyakinkan pelabur. Adakah negara sedang di pacu sebagai negara pengeluar berorientasikan industri berat dan kejuruteraan, atau lebih kepada sektor perkhidmatan?
Apakah status sebenar industri automotif sebagai tulang belakang pertumbuhan ekonomi serta industri mana yang bakal memacu pembangunan negara? Slogan-slogan seperti “Ekonomi Madani” atau “Malaysia Madani” belum diterjemahkan ke dalam strategi ekonomi yang jelas dan terukur.
Pelabur dalam serta luar negara terus melihat ketidaktentuan dasar, daripada isu pelaksanaan subsidi bersasar hinggalah kepada dasar pelaburan asing yang tidak konsisten.
Pertumbuhan sektor strategik seperti teknologi, tenaga hijau dan ekonomi digital masih perlahan, sementara peluang pekerjaan bernilai tinggi tidak meningkat secara signifikan.
Ketiadaan naratif ekonomi yang konsisten telah menjejaskan keyakinan pasaran, menyumbang kepada kelemahan berterusan nilai ringgit dan pengaliran keluar modal pelaburan.
Kelemahan dalam pengurusan hasil dan ekonomi turut memberi kesan langsung kepada legitimasi demokratik kerajaan ini. Misalnya, bajet 2025 mengunjurkan hasil RM 339.7 bilion, naik 5.5 % berbanding anggaran semula 2024 RM 322 bilion tetapi angka ini masih mencerminkan tahap asas hasil yang relatif rendah.
Kelemahan fiskal seperti ini bukan sahaja menjejaskan keupayaan kerajaan untuk menunaikan janji pembangunan sosial, tetapi juga mengganggu kredibiliti pentadbiran yang kononnya berjiwa reformis.
Sebuah kerajaan yang tidak mampu menjana hasil secara mampan tidak akan mampu membiayai pembaharuan yang dijanjikan, baik dari segi ekonomi mahupun demokrasi.
Negara ini memerlukan dasar yang berpaksikan kekuatan ekonomi sebenar, bukan bergantung kepada retorik dan populisme fiskal.
Tanpa anjakan paradigma dalam dasar hasil dan arah tuju ekonomi, Malaysia akan terus bergerak tanpa haluan yang jelas. Malaysia semakin jauh daripada cita-cita menjadi negara maju yang makmur, adil dan berdaya tahan.
Dr Armin Baniaz Pahamin, Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.