
KUALA LUMPUR, 3 DIS 25 — Kerajaan didakwa memang berhasrat untuk menggantung dirinya dari hadir ke Parlimen, dakwa Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ia susulan usul dikemukakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution dijangka mencadangkan usul untuk menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan atas kenyataan yang mengaitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan peristiwa Memali.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin Nasution meminta Dewan memutuskan sama ada Takiyuddin patut digantung atas kenyataan yang dibuat semasa perbahasan RUU Perbekalan 2026 peringkat dasar pada 22 Oktober lalu.
“Kenapa saya tak dibawa ke jawatankuasa hak dan kebebasan, pengerusinya speaker, ahlinya ahli Parlimen kedua-dua pihak, pembangkang pun ada.
“Hukuman di bawah jawatankuasa hak dan kebebasan tak berat,” katanya.
“Kita tahu kerajaan ada majoriti, niatnya memang nak gantung saya. Kenapa nafikan hak saya dalam jawatankuasa hak dan kebebasan.”
Beliau mendakwa usul yang akan dicadangkan Saifuddin itu bersifat ‘double jeopardy’ kerana ‘bertindan’ selain ‘melangkaui’ usul awal dikemukakan ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat yang pernah merujuknya ke jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS itu mendakwa prosedur untuk membawanya ke jawatankuasa berkenaan belum lagi selesai, malah beliau sendiri belum dipanggil untuk menghadiri sebarang prosiding.
” Kalau dalam undang-undang situasi ini disebut ‘double jeopardy’ iaitu dua tuduhan dalam satu isu terhadap satu orang… Peraturan 36(12) dan 27(3) pun kena. Itu salah di segi undang-udang,” katanya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.