LD Pecat Saifuddin, Pergolakan Dalaman BERSATU Berterusan

KUALA LUMPUR | 7 Jan 25 — Datuk Seri Saifuddin Abdullah disahkan dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa 6 Januari 2026, sekali gus menandakan kemuncak konflik dalaman parti itu yang semakin meruncing sejak beberapa bulan lalu.

Pemecatan Ahli Parlimen Indera Mahkota yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu diputuskan selepas mesyuarat Lembaga Disiplin (LD) BERSATU pada 5 Januari, dengan alasan beliau didakwa melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti. Namun, sehingga kini, kepimpinan BERSATU tidak memperincikan secara terbuka bentuk pelanggaran yang dimaksudkan.

Saifuddin mengesahkan penerimaan notis pemecatan tersebut dan memaklumkan bahawa beliau berniat mengemukakan rayuan dalam tempoh terdekat, selaras dengan peruntukan dalaman parti.

Sebelum pemecatan ini, Saifuddin pernah dipanggil memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin BERSATU pada November 2025, susulan dakwaan penglibatannya dalam gerakan dalaman yang dikaitkan dengan usaha mencabar kepimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam beberapa kenyataan terdahulu, Saifuddin turut mempertikaikan proses siasatan disiplin parti, termasuk menggesa agar beberapa ahli lembaga disiplin menarik diri serta meminta penjelasan langsung daripada Presiden parti. Tindakan tersebut dilihat oleh pemerhati sebagai isyarat ketidakpuasan hati terhadap ketelusan dan keadilan pengurusan dalaman Bersatu.

Dikalangan warga politik berpendapat, pemecatan Saifuddin tidak sekadar isu disiplin individu, sebaliknya mencerminkan pergelutan kuasa yang lebih luas dalam BERSATU. Langkah tegas terhadap tokoh kanan parti yang dilihat cenderung bersama Hamzah itu, ditafsirkan sebagai usaha kepimpinan sedia ada untuk menutup ruang perbezaan pendapat dan mengukuhkan kawalan menjelang fasa politik yang lebih tidak menentu.

Tindakan ini juga dilihat berpotensi memberi kesan kepada imej BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam kalangan pengundi muda yang melihat ruang demokrasi dalam BERSATU semakin sempit. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share