
KUALA LUMPUR | 26 Mac 26 – Kerajaan dilapor sedang merangka untuk mengurangkan had bulanan kelayakan petrol RON95 bersubsidi di bawah program Budi95, daripada 300 liter kepada hanya 200 liter sebulan, berkuat kuasa mulai April ini, menurut sumber media The Edge.
Menurut laporan tersebut, langkah itu diambil susulan kenaikan mendadak harga bahan api tanpa subsidi, yang semakin meningkat akibat tekanan dalam pasaran minyak global berikutan konflik di Timur Tengah.
Di bawah cadangan baharu itu, pengguna hanya akan menerima 200 liter petrol yang dijual pada harga subsidi RM1.99 seliter setiap bulan. Sekiranya pengguna melepasi had kuota tersebut, baki penggunaan mereka akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi, yang jauh lebih tinggi.
Sumber laporan menyatakan bahawa pengumuman rasmi mengenai perubahan kuota itu dijangka dibuat seawal minggu ini, dengan pelaksanaannya dirancang supaya selari dengan mekanisme penetapan harga baru bahan api domestik.
Baru-baru ini, Kementerian Kewangan turut mengumumkan kenaikan harga runcit bagi petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi sebanyak 60 sen seliter, sementara diesel di Semenanjung Malaysia naik 80 sen kepada RM5.52 seliter. Langkah ini merupakan minggu ketiga berturut-turut kenaikan harga bahan api, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menyesuaikan harga dengan keadaan pasaran. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.