
KUALA LUMPUR, 11 Sep 25 — Kerajaan memutuskan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said juga telah membentangkan model-model pengasingan tersebut kepada Jemaah Menteri.
“Setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan berkenaan.
Keputusan itu katanya diambil selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan Azalina.
Kenyataan itu turut memaklumkan, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.
Satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) juga akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.
“Pada masa yang sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].
“Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa pelaksanaan ini dibuat secara berfasa, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada,” kata kenyataan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.