Kerajaan Turunkan Kuota Subsidi BUDI95 Kepada 200 Liter Sebulan Mulai 1 April

KUALA LUMPUR | 27 Mac 26 – Kerajaan mengumumkan bahawa kuota bulanan bagi petrol RON95 bersubsidi di bawah Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) akan diselaraskan sementara daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April 2026.

Keputusan ini dibuat susulan tekanan terhadap bekalan minyak dan kenaikan harga petrol di pasaran global akibat konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa harga RON95 yang disubsidi kekal pada RM1.99 seliter, walaupun kuota dikurangkan. Beliau berkata langkah ini dilihat dapat memastikan subsidi terus dinikmati rakyat tanpa membebankan kewangan negara dalam situasi pasaran tenaga dunia yang tidak menentu.

Menurut data penggunaan terkini, purata rakyat hanya menggunakan sekitar 100 liter sebulan, dan hampir 90 peratus pengguna tidak melebihi 200 liter sebulan, justeru majoriti rakyat dijangka tidak terjejas secara langsung oleh perubahan kuota ini.

Bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig, had kuota masih dikekalkan sehingga 800 liter sebulan memandangkan keperluan operasi mereka yang lebih tinggi. Selain itu, kerajaan akan memperkenalkan had tertentu bagi setiap pembelian diesel untuk kenderaan di Sabah dan Sarawak sebagai langkah melindungi bekalan dan mengurangkan penyeludupan.

Langkah penyelarasan ini bersifat sementara dan akan dinilai semula mengikut perkembangan bekalan minyak dunia serta pemulihan ekonomi global. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share