
KUALA LUMPUR, 31 OKT 25 — Kesatuan wartawan mengecam tindakan seorang menteri yang mengugut wartawan kerana bertanyakan soalan berkenaan tema prapelancaran projek “I Lite U” yang menggunakan Bahasa Inggeris.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Teh Athira Mohamed Yusof berkata dalam satu kenyataan, tindakan menteri itu seolah-olah memberi gambaran wartawan wajar dihukum hanya kerana bertanya soalan dalam acara rasmi.
“Tindakan itu bukan sahaja tidak wajar, malah dilihat sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan serta menekan kebebasan media di Malaysia.
“Diingatkan, wartawan berkenaan telah melaksanakan tugasnya secara profesional iaitu mengemukakan soalan secara sopan dan teratur di dalam sidang akhbar rasmi dan langkah ini selari dengan prinsip kewartawanan beretika,” kata Teh Athira.
Malah, ugutan menteri untuk menghubungi ketua pengarang akhbar tersebut disebabkan soalan wartawan yang tidak disenanginya juga hanya merosakkan kredibiliti menteri berkenaan.
“NUJM sekali lagi menegaskan bahawa setiap wartawan mempunyai tanggungjawab untuk bertanya, menyiasat dan melapor dengan berintegriti, bebas daripada campur tangan politik atau ancaman balas dendam.
“Sebarang tindakan yang mengekang kebebasan media hanya akan merosakkan kredibiliti kerajaan serta menghakis kepercayaan awam.
“Kami menggesa semua pihak, khususnya para menteri dan pemimpin politik, agar menghormati peranan media dan,” kata Teh Athira.
Gerakan Media Merdeka (Geramm) juga turut menyeru pemimpin kerajaan agar menjaga adab dan menghormati wartawan yang menjalankan tugas.
“Soalan wartawan bukan serangan peribadi. Ia adalah sebahagian daripada proses semak dan imbang yang menjadi asas kepada demokrasi. Wartawan bertanya bagi pihak masyarakat yang berhak tahu, dan bukan untuk memalukan mana-mana pihak.
“Oleh itu, sebarang reaksi marah, ugutan atau penghinaan terhadap wartawan yang sekadar menjalankan tugas adalah tidak beradab dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila datang daripada seorang menteri,” tegasnya.
Insiden itu berlaku ketika wartawan berkenaan bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris, dengan menteri berkenaan kemudian menjelaskan ia merupakan acara pelancongan dan penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.
Dia kemudian memberitahu wartawan Utusan Malaysia berkenaan pihaknya akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu berhubung soalan yang diajukan.
“Saya tidak mahu awak datang ke sini dan menimbulkan perkara yang boleh merosakkan keseluruhan majlis. Saya akan hubungi ketua pengarang awak,” katanya.
Walaupun tidak menamakan menteri terlibat, kenyataan itu dipercayai merujuk insiden melibatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming semasa projek yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu pekeliling sebelum ini menetapkan semua perkara, aktiviti, program dan projek yang dianjur atau diuruskan oleh kerajaan hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam setiap urusan rasmi.
Ia adalah selaras dengan komitmen kerajaan bagi memperkasa serta memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi perkhidmatan awam.
Perkara itu dinyatakan menerusi Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bertarikh 29 Okt dan ditandatangani oleh Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.