Chow Wajar Letak Jawatan Ahli Parlimen Raub, Kata Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 17 APR 25 – Chow Yu Hui wajar melepaskan jawatan Ahli Parlimen Raub yang disandangnya kerana bersekongkol dengan pekebun durian haram menghalang tindakan penguatkuasaan kerajaan negeri Pahang, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sebagai wakil rakyat kerajaan, Chow seharusnya mempertahankan perintah dan arahan pihak berkuasa, bukan bertindak sebaliknya.

“Kalau dia berfungsi sebagai wakil rakyat kerajaan, yang sepatutnya dia kena mempertahankan (perintah pihak berkuasa), bukan dia pergi lawan undang-undang.

“Sepatutnya dia mematuhi keputusan mahkamah, menteri besar dan penguatkuasa di Pahang yang bertindak di atas keputusan mahkamah. Bila ada keputusan dia (kerajaan) kena bertindak, kalau tidak bertindak, tiada makna keputusan mahkamah,” kata Tuan Ibrahim, seperti dilapor Harakahdaily.

Chow sebelum ini ditahan semalaman oleh pihak berkuasa atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam apabila turut terlibat membantah tindakan operasi penguatkuasaan dengan menebang 200 pokok durian musang king pada 8 April lalu.

Sebaik sahaja dibebaskan, Chow menggesa kerajaan negeri Pahang segera mengadakan rundingan bersama pekebun durian yang menceroboh tanah kerajaan negeri itu bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap pertikaian mereka.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim mencabar Chow melepas jawatan sekiranya tidak mampu menggalas tanggungjawab melaksanakan dasar kerajaan.

“ Jadi saya cabar kalau tidak boleh lagi, dia kena letak jawatan ahli Parlimen yang tidak layak duduk dalam kerajaan,” kata Adun Cheka itu lagi. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share