
Dalam pendidikan negara kita, terdapat beberapa perkara pokok yang harus ditangani dari awal.
Antaranya ialah persoalan definisi ilmu, klasifikasi ilmu, ilmu bersepadu, budaya ilmu, pendidikan bersepadu, nisbah akademik-kokurikulum, model Rasulullah, insan baik vs pekerja baik, kebebasan akademik, kecemerlangan dengan roh, teknologi yang manusiawi, masalah ‘tubuh mengembang tetapi semangat mengecut’, prestasi negara dalam Programme for International Student Assessment (PISA), pentaksiran pelajar, penghakupayaan pelajar/mahasiswa, penilaian vs pengukuran, kepimpinan, perundangan, governans, sumber manusia dan dana.
Perikatan Nasional telah menyediakan ‘Cadangan Reformasi Pendidikan’ (CRP) pada Mac 2024. Kebetulannya, CRP bertepatan dengan langkah kerajaan yang sedang menggubal pelan pendidikan negara yang baru.
Dalam proses penggubalan ini, saya ada beberapa kebimbangan munasabah.
Pertama, wujudnya dua pasukan penggubalan yang berbeza (satu di KPT dan satu di KPM). Khabarnya, akan ditubuhkan Majlis Pendidikan Negara, yang dipengerusikan Perdana Menteri, untuk mengintegrasi kerja kedua-dua pasukan itu. Persoalannya, akan berlakukah wahdatul fikr (kesatuan pemikiran) yang sebenar?
Kedua, apabila dibandingkan perbincangan dengan kedua-dua kementerian, terdapat jurang besar antara kedua-duanya.
Ketiga, ada perbincangan tersebut yang tidak jelas merujuk pelan sedia ada. Terus bentang pelan baru. Manakala perbincangan yang satu lagi jelas merujuk pelan sedia ada, membuat analisis akan pencapaian-pencapaian dan kekangan-kekangannya, dan selepas itu barulah mencadangkan tumpuan-tumpuan dalam pelan baru.
Maknanya, ada kesinambungan dan langkah-langkah pembaikannya. Justeru, timbul persoalan tentang ada atau tidak kesinambungan (antara pelan sedia ada dengan yang baru) dalam satu daripada dua pelan tersebut?
Keempat, timbul persoalan tentang pelaksanaan yang mulus, teratur, licin dan tidak terganggu di antara KPT dan KPM.
Dan kelima, bagaimana pula kedudukan ekosistem pendidikan yang lebih luas, iaitu yang melibatkan agensi-agensi dan institusi-institusi bukan-KPM/KPT?
BERSATU memberi perhatian berat tentang perkara ini. Inilah sebabnya, dalam sejumlah Persidangan Tahunan Bahagian-bahagiannya di seluruh negara pada 4-6 Julai lalu, usul tentangnya diluluskan untuk dibawa ke Perhimpunan Agung Tahunan pada September ini.
Contoh usul tersebut:
“Menyedari bahawa pada tahun ini akan berakhirnya ‘Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025’ dan ‘Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025’;
Maka, Persidangan Tahunan Bahagian ………. menggesa supaya kerajaan memastikan bahawa
(a) ‘Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035’ yang sedang digubal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan ‘Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035’ yang sedang digubal oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah jelas merupakan kesinambungan daripada pelan-pelan pendidikan yang berakhir pada tahun ini tersebut, dengan penambahbaikan-penambahbaikan yang sesuai dan selaras dengan keperluan terkini dan masa depan negara;
(b) perancangan dan pelaksanaan pelan-pelan pendidikan di bawah kedua-dua KPM dan KPT tersebut adalah mulus, teratur dan licin; dan
(c) proses penggubalannya melibatkan perundingan dengan pelbagai pemegang taruh, termasuk parti-parti politik secara rentas-parti”.
Memandangkan Dewan Rakyat akan mula bersidang semula pada 21 Julai ini, maka, saya telah menghantar soalan lisan tentang hal ini kepada Perdana Menteri.
Kita mesti menangani perkara-perkara pokok ini untuk bergerak dengan kesatuan pemikiran kearah pendidikan negara yang lebih baik.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ketua Biro/Portfolio Pendidikan BERSATU/PN.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.