Ketepi Perbezaan, Melayu Perlu Bersatu, Kata NGO

KUALA LUMPUR, 26 MEI 25 – Orang Melayu disaran mengenepikan perbezaan masing-masing dan fokus kepada penyatuan Melayu, kata Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa.

Beliau berkata, himpunan Melayu Berdaulat di ibu negara baru-baru ini bertujuan menyedarkan orang Melayu,  kedaulatan bangsa tidak mampu dipertahankan, sekiranya kuasa dan maruah Melayu hilang.

“Sudah sampai masanya orang Melayu mengenepikan segala perbezaan, sebaliknya fokus kepada penyatuan Melayu dan penyatuan ummah bagi mempertahankan perpaduan nasional yang telah terbina di negara ini dengan baik sejak sekian lama,” katanya, dalam satu kenyataan.

Jelas Mohd Zai, himpunan itu juga memberi isyarat semua pemimpin Melayu wajar berada dalam satu wadah iaitu payung besar orang Melayu yang disertai oleh semua pemimpin Melayu samada politik, NGO dan NGI.

“Semua pihak juga perlu sedar dan wajar, bersetuju bertindak dengan segera menyatukan padukan pemimpin Melayu bagi menghalang kuasa dan maruah serta kedaulatan Melayu terus lenyap dan hilang.

“Pemimpin Melayu wajib menunjukkan contoh dan tauladan kepada satu penyatuan Melayu yang kuat,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata, orang Melayu juga perlu bersatu menghadapi musuh utama mereka iaitu mereka yang cuba memecah belahkan orang Melayu, mempersendakan agama Islam, mempersoalkan hak istimewa dalam Perlembagaan Perkara 153, pembangunan semula bandar yang akan meminggirkan orang Melayu di bandar yang akan dicadangkan melalui RUU URA serta mempersoalkan kuasa Majlis Raja-raja melalui mahkamah iaitu titah addendum Yang Dipertuan Agong. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share