Keterbukaan PAS Bukti Parti Itu Bersedia Pimpin Malaysia – RESET Terengganu

KUALA LUMPUR | 11 Jun 26 – Kesediaan PAS membuka pintu kerjasama dengan pelbagai parti politik dan kelompok masyarakat membuktikan parti itu semakin matang serta mempunyai keyakinan untuk menawarkan kepimpinan alternatif kepada negara, kata Penggerak RESET Terengganu, Datuk Abdul Aziz Ismail.

Beliau berkata, kenyataan Presiden PAS yang mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tanda kelemahan politik, sebaliknya mencerminkan kekuatan sebuah parti yang bersedia memimpin Malaysia.

Menurutnya, PAS selama ini mempunyai asas sokongan yang kukuh, jentera yang tersusun serta rekod perjuangan yang konsisten tanpa perlu mengorbankan prinsip semata-mata untuk meraih kuasa politik.

“Kesediaan membuka ruang kerjasama lahir daripada kekuatan, bukan kelemahan. PAS membuktikan bahawa kepentingan negara perlu diutamakan melebihi kepentingan parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Aziz berkata, dalam landskap politik yang semakin berpecah dan berpolarasi, PAS dilihat berpotensi menjadi titik temu kepada pelbagai kelompok politik, khususnya dalam usaha membina kestabilan politik dan pentadbiran yang lebih berkesan.

Beliau berpandangan parti itu kekal konsisten membawa agenda integriti, kestabilan dan kebajikan rakyat, sekali gus meletakkannya dalam kedudukan yang sesuai untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam penyatuan pelbagai pihak.

“Kesediaan PAS berunding dengan pelbagai pihak menunjukkan parti itu mempunyai kapasiti untuk menyatukan pelbagai kelompok politik demi membentuk kerajaan yang lebih stabil dan berkesan,” katanya.

Tambah beliau, cabaran semasa negara memerlukan kepimpinan yang mampu membina konsensus, mengurus perbezaan serta mencari titik persamaan dalam kalangan pelbagai parti dan kelompok masyarakat.

Menurutnya, keterbukaan PAS terhadap kerjasama politik menunjukkan parti itu bukan sekadar memikirkan soal kuasa, tetapi bersedia memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam membentuk masa depan negara.

Sehubungan itu, Abdul Aziz menyeru semua parti pembangkang agar mengetepikan perbezaan dan memberi tumpuan kepada usaha membina kerjasama yang lebih luas demi kepentingan rakyat.

“Saya yakin keterbukaan PAS ini tepat pada masanya. Semua pihak perlu melihat peluang untuk membina kesepakatan yang lebih besar demi masa depan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau menambah, kesediaan PAS membuka ruang kepada semua pihak menjadi petanda bahawa parti itu semakin matang, inklusif dan bersedia menawarkan kepimpinan yang lebih menyeluruh untuk Malaysia. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share