
KUALA LUMPUR | 5 Feb 26 – Seorang lagi Ketua Bahagian BERSATU, menyuarakan pendirian agar kepimpinan BERSATU perlu melakukan perubahan.
Ketua Bahagian BERSATU Kepong, Ahmad Nizar Sani menyeru perubahan dalam kepimpinan tertinggi parti, dengan menyatakan bahawa timbalan presiden Hamzah Zainudin dan naib presiden Radzi Jidin patut memimpin parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, krisis kepimpinan yang berterusan dalam Perikatan Nasional (PN) mesti diselesaikan dengan segera, atas sebab Muhyiddin Yassin dilihat gagal meredakan ketegangan dalam gabungan itu.
“Jika presiden tidak lagi mampu menguruskan krisis ini, adalah lebih bertanggungjawab untuk kepimpinan diserahkan kepada mereka yang berkemampuan,” katanya seperti dilaporkan FMT.
“Demi masa depan BERSATU dan kesatuan PN, saya percaya kepimpinan Hamzah dan Radzi bersama mewakili formula paling berkesan untuk membimbing parti ke hadapan,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dinamika antara kedua-dua pemimpin itu penting untuk memulihkan hubungan yang retak antara BERSATU dan PAS, memastikan PN kembali kuat dan dihormati, serta secara strategik bersedia menghadapi PRU16.
Nizar turut berkata bahawa BERSATU tidak boleh terus terperangkap dalam nostalgia atau “dikelilingi oleh penasihat yang hanya tahu memecah belah pemimpin antara satu sama lain”.
“Kita memerlukan kepimpinan baharu dan inklusif. Sudah tiba masanya untuk meletakkan kepentingan parti dan negara di atas segala-galanya, sebelum terlambat,” ujarnya.
Seruan Nizar ini muncul ditengah-tengah konflik dalaman BERSATU, susulan kenyataan ketua penerangan Tun Faisal Ismail Aziz yang menolak cadangan agar Muhyiddin berundur sebagai presiden parti dan sebaliknya mencadangkan Hamzah meletak jawatan berikutan kegagalan parti dalam pilihan raya negeri Sabah pada 29 November 2025.
Sebelum ini, Ketua Bersatu Tangga Batu, Ramlan Meon, pula mempertikaikan sama ada Muhyiddin menyokong cadangan agar Hamzah berundur.
Untuk rekod, kepimpinan Bahagian BERSATU di Sabah, Perak dan Johor turut menggesa pengunduran Muhyiddin Yassin dengan segera atas faktor kelemahan kepimpinan beliau dan masalah integriti yang menyelubungi Muhyiddin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.