Pemuda PAS Selangor Desak Kerajaan Negeri Haramkan Penjualan Vape

KUALA LUMPUR, 10 NOV 25 – Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan negeri mengambil langkah tegas dengan mengharamkan penjualan vape di seluruh Selangor, susulan peningkatan ketagihan dan risiko kesihatan dalam kalangan remaja.

Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, berkata pihaknya menyokong penuh Program Zero Vape Peringkat Negeri Selangor 2025 yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di SMK Bandar Utama Damansara (2) baru-baru ini.

Menurutnya, usaha itu selari dengan tuntutan Islam untuk menjaga akal dan nyawa (maqasid syariah), serta penting dalam membina generasi pelajar yang berdisiplin dan bermaruah.

“Komitmen JPN Selangor ini wajar dipuji kerana ia bukan sahaja memperkukuh nilai kesihatan dan akhlak murid agar tidak terjebak dengan ketagihan vape, tetapi juga membentuk generasi berilmu dan berakhlak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Faizzuddin, rawatan bagi setiap pesakit EVALI menelan kos purata RM150,892 bagi tempoh 12 hari di hospital dan boleh menyebabkan kerosakan paru-paru kekal atau kematian.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Selangor masih belum mengharamkan penjualan vape, sedangkan beberapa negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah telah mengambil langkah tersebut lebih awal.

“Kerajaan negeri lain sudah menunjukkan tekad, tetapi Selangor masih teragak-agak walaupun Menteri Besar pernah menyatakan hasrat. Mengapa ragu-ragu terhadap produk yang jelas mengancam masa depan generasi muda?” katanya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak memperbaharui lesen premis yang menjual produk vape selepas tamat tempoh lesen masing-masing.

“Jika bukan sekarang, bila lagi? Sudah tiba masanya Selangor memimpin dengan tindakan berani demi kesihatan dan masa depan anak muda,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share