Ketua Pembangkang Desak Kerajaan Semak Semula Terma Perjanjian Anwar-Trump

KUALA LUMPUR, 13 DIS 25 — Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menilai semula beberapa terma dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat berikutan kebimbangan terhadap aspek kedaulatan dan implikasi jangka panjang kepada negara.

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berkata beliau sejak awal telah menzahirkan bantahan terhadap beberapa peruntukan, khususnya Artikel 3.3 dan 5.1, yang menurutnya berpotensi mengikat dasar negara secara tidak wajar.

“Saya telah suarakan kebimbangan ini secara konsisten melalui kenyataan media, sidang akhbar, rapat umum dan perbahasan di Parlimen,” katanya.

Menurut Hamzah, pendirian PN semakin kukuh selepas laporan Reuters mendedahkan bahawa Indonesia menolak persetujuan awal beberapa terma perjanjian dengan Amerika Syarikat kerana dianggap mengancam kepentingan serta kedaulatan negara itu.

“Apabila Indonesia menolak terma yang terlalu mengikat, ini menunjukkan kebimbangan kami berasas,” katanya.

Namun, beliau kesal apabila kerajaan Malaysia melalui kenyataan Rabu lalu menolak desakan supaya rundingan semula dilakukan, walaupun negara jiran mengambil langkah berhati-hati.

“Malaysia tidak boleh hanya menerima pujian daripada Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Scott Bessent, sebagai ‘good actor’ tanpa memahami kos dan implikasi sebenar di sebaliknya,” tegasnya.

PN kini menuntut kerajaan mendedahkan terma-terma yang ditolak Indonesia dan menjelaskan sama ada syarat sama turut terkandung dalam perjanjian ART Malaysia-AS.

“Kerajaan perlu menilai kembali dan mempertimbangkan rundingan semula sekiranya terma tersebut menjejaskan ruang dasar, kedaulatan ekonomi atau kepentingan industri negara pada jangka panjang,” katanya.

Hamzah menegaskan rakyat berhak mengetahui “harga yang perlu dibayar” untuk memenuhi persepsi positif Washington.

“Di mana letaknya keutamaan dan kepentingan negara ketika keputusan itu dibuat?” soal beliau. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share