Ketua Pembangkang Tidak Boleh Ditentukan Sepihak, Mesti Berasaskan Konsensus – Fadhli Shaari

PARLIMEN | 24 feb 26  – Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari menegaskan bahawa keabsahan jawatan Ketua Pembangkang tidak boleh ditentukan secara unilateral atau bersandar kepada tafsiran prosedur semata-mata, sebaliknya mesti berteraskan konsensus dan sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen Jelutong yang sekali lagi membangkitkan isu kedudukan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat hanyalah membuang masa persidangan, sedangkan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat telah memberikan asas yang jelas mengenai prinsip pelantikan jawatan berkenaan.

Menurut Fadhli, Peraturan Mesyuarat 4A(3) mentakrifkan Ketua Pembangkang sebagai “Ahli Majlis Mesyuarat yang sedang menjadi Ketua Kumpulan pihak Pembangkang”, yang secara jelas mengikat jawatan itu kepada realiti sokongan politik, bukan kepada pengumuman sepihak mana-mana pihak.

“Roh peruntukan ini jelas. Ketua kumpulan bermaksud individu yang benar-benar memimpin dan mendapat kepercayaan majoriti dalam kumpulan pembangkang,” katanya difacebook beliau.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 4A(4) pula mengiktiraf kemungkinan wujud pertikaian mengenai siapakah yang benar-benar mengetuai blok pembangkang, dan dalam keadaan sedemikian, kuasa Tuan Yang di-Pertua hanyalah untuk memutuskan pertikaian berdasarkan fakta sokongan, bukannya melantik tanpa asas legitimasi.

“Jika pelantikan dibuat tanpa rundingan atau tanpa sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang, keadaan itu sendiri sudah mewujudkan ‘keraguan atau pertikaian’ seperti yang diperuntukkan,” katanya.

Sehubungan itu, Fadhli menegaskan bahawa pendekatan paling selari dengan peraturan dan amalan demokrasi berparlimen ialah membuktikan sokongan majoriti secara terbuka melalui konsensus atau akuan sokongan, bukannya melalui polemik berpanjangan di dalam Dewan.

Beliau turut menegaskan bahawa prinsip sama terpakai sama ada melibatkan pelantikan baharu atau mengekalkan penyandang sedia ada.

“Mana-mana Ahli Parlimen yang bukan daripada pihak kerajaan dan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen pembangkang wajar diiktiraf sebagai Ketua Pembangkang. Ini termasuk jika majoriti bersetuju untuk mengekalkan Ahli Parlimen Larut sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.

Fadhli berkata, tanpa legitimasi majoriti tersebut, kedudukan Ketua Pembangkang akan kekal rapuh dari sudut roh demokrasi berparlimen, walaupun kelihatan teratur dari segi prosedur.

“Ketua Pembangkang mesti lahir daripada kehendak kolektif blok pembangkang, bukan hasil tafsiran sempit atau permainan teknikal,” tegasnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share