
KUALA LUMPUR, 12 DIS 2025 – Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan hari ini mengetengahkan isu kemerosotan akhlak dan kehilangan moral dalam masyarakat, khususnya berkaitan perbuatan songsang yang menyalahi fitrah manusia.
Khatib menekankan bahawa manusia diciptakan oleh Allah SWT sebagai makhluk sebaik-baik ciptaan dengan peranan sebagai khalifah, dan hubungan antara lelaki dan wanita adalah satu anugerah yang perlu dipelihara.
Dalam khutbah bertajuk “Dosa Songsang, Bayangan Murka Ilahi”, khatib menegaskan bahawa Islam hanya membenarkan hubungan seksual dalam ikatan perkahwinan sah antara lelaki dan wanita.
“Segala bentuk penyimpangan hubungan sama ada lelaki sesama lelaki, wanita sesama wanita, atau sebarang perbuatan menolak status jantina, adalah dilarang kerana ia merosakkan manusia dan masyarakat,” kata khatib, sambil merujuk Surah as-Syu’ara ayat 165-166 sebagai peringatan kepada umat.
Khatib turut mengingatkan umat Islam agar mengambil iktibar daripada kaum Lut yang dihapuskan Allah SWT akibat perlakuan songsang dan keingkaran mereka terhadap peringatan Nabi Lut.
Firman Allah SWT melalui Surah Hud, ayat 82-83 menjelaskan bahawa azab yang menimpa kaum Lut adalah peringatan kepada mereka yang melampaui batas.
Selain aspek agama, khutbah juga menyentuh faktor sosial dan psikologi yang menyumbang kepada gejala songsang.
Khatib menekankan bahawa kelemahan iman, masalah psikologi, kurangnya kasih sayang keluarga, serta pengaruh media sosial dan internet antara faktor utama yang memudahkan individu terdedah kepada perbuatan songsang.
Beliau juga memetik data Yayasan AIDS Malaysia 2023 yang menunjukkan hubungan sejenis sebagai penyumbang utama kes jangkitan HIV baharu dalam kalangan belia dan profesional.
Menutup khutbah, khatib menyeru umat Islam untuk segera bertaubat dan menjauhi perbuatan maksiat. Antara pesanan penting khutbah ialah: menghentikan normalisasi perbuatan songsang, menegur dengan nasihat dan perundangan penuh keadilan, serta kembali ke jalan yang benar dengan taubat nasuha.
“Pintu taubat sentiasa terbuka luas selagi hayat masih dikandung badan,” tegas khatib. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.