
KUALA LUMPUR | 30 Ogos 26 – Dakwaan bahawa orang Melayu di Tanah Melayu merupakan kelompok imigran yang datang dari Indonesia disifatkan sebagai tidak tepat dari sudut sejarah oleh Pengerusi Gabungan Nasionalis, Tuan Haji Aminuddin Yahaya.
Menurut beliau, masyarakat Melayu di rantau ini perlu dilihat dalam konteks sejarah Kepulauan Melayu, bukannya berdasarkan sempadan negara moden seperti Malaysia dan Indonesia.
“Dahulu, Malaysia dan Indonesia ini satu dalam konteks Kepulauan Melayu,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Politikopi menerusi episod bertajuk “Politik ‘Melayu-Phobia’: Apa dan Kenapa?”
Aminuddin berkata, hubungan antara masyarakat di kedua-dua wilayah itu pada zaman dahulu tidak dilihat sebagai hubungan antara dua bangsa atau negara yang berbeza seperti kefahaman hari ini.
“Kalau orang Indonesia datang ke Tanah Melayu, mereka tidak mengatakan, ‘Saya nak pergi ke tanah kamu’. Mereka mengatakan, ‘Kami nak pergi ke seberang’,” katanya.
Beliau menyifatkan penggunaan istilah “seberang” itu sebagai gambaran bahawa masyarakat di rantau ini pada ketika itu melihat kawasan tersebut sebagai sebahagian daripada lingkungan kehidupan dan budaya yang sama.
Aminuddin turut menggunakan pantun Melayu sebagai antara gambaran hubungan sejarah dan budaya masyarakat di rantau ini.
“Dalam pantun Melayu pun ada disebut, ‘Gunung Daik bercabang dua’. Gunung Daik itu berada di Indonesia. Bagaimana orang Melayu di sini tahu tentang Gunung Daik?” katanya.
Menurut beliau, contoh tersebut menunjukkan bahawa hubungan masyarakat Melayu merentasi wilayah yang kini dipisahkan oleh sempadan negara.
“Bukan orang Indonesia datang ke sini dan orang di sini pula orang lain. Tidak. Kita ini seolah-olah menyeberangi sungai. Kita kata hendak pergi ‘seberang’, bukan hendak pergi ke tempat asing atau berhijrah ke negara orang,” katanya.
Sehubungan itu, Aminuddin menegaskan naratif bahawa orang Melayu di Tanah Melayu merupakan imigran dari Indonesia perlu dilihat semula berdasarkan konteks sejarah rantau ini.
“Yang mengatakan orang Melayu ini adalah imigran daripada Indonesia atau daripada mana-mana tempat, bagi saya tidak betul dan tidak tepat dari faktor sejarah,” katanya.
Dalam podcast sama, Aminuddin turut mengaitkan kebimbangan terhadap penyatuan Melayu dengan persoalan kuasa politik dan ekonomi.
Beliau mendakwa antara tujuan utama naratif yang menurutnya menjauhkan orang Melayu daripada bersatu adalah kerana penyatuan tersebut boleh memberi kesan besar terhadap kuasa politik serta ekonomi.
“Kita pernah bawa dulu konsep BMF – Buy Muslim First. Impaknya sangat besar. Bila mana-mana pun kita bersatu, kita akan membuat impak yang besar,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan wujud pihak tertentu yang cuba membentuk naratif seolah-olah penyatuan Melayu akan membawa ancaman kepada kaum lain, termasuk dari segi ekonomi dan kebebasan beragama.
Aminuddin berkata, naratif sedemikian akhirnya menjadikan usaha untuk memperkukuh penyatuan Melayu seolah-olah sesuatu yang perlu ditakuti.
Beliau bagaimanapun menegaskan persoalan utama yang dibangkitkannya bukanlah untuk menafikan kewujudan atau hak kaum lain, sebaliknya mempertahankan kefahaman sejarah mengenai identiti Melayu dan kedudukan masyarakat Melayu dalam rantau Kepulauan Melayu.
Podcast Politikopi berkenaan membincangkan persoalan politik “Melayu-Phobia” serta faktor yang didakwa mempengaruhi pembentukan naratif terhadap penyatuan masyarakat Melayu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.