
KUALA LUMPUR, 13 Jul 25 – Gerakan menyuarakan kebimbangan terhadap gelombang penghijrahan pegawai perubatan tempatan ke Singapura, kata Naib Presiden Datuk Baljit Singh.
Katanya, laporan mengatakan republik itu sedang giat merekrut pekerja kesihatan profesional dari Malaysia dengan tawaran gaji lumayan membuktikan profesionalisme pekerja kesihatan negara ini bernilai tinggi.
Beliau bagaimanapun memberi amaran kepada kerajaan mengenai kelemahan dasar semasa dalam mengekalkan bakat tempatan.
“Laporan Kementerian Kesihatan Singapura sedang menjalankan kempen agresif untuk merekrut doktor dari Malaysia amat membimbangkan. Ini bukan sekadar kehilangan individu, tetapi kehilangan aset penting negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa merangka pelan jangka panjang yang mampan bagi mengekang penghijrahan tersebut.
Antara cadangan yang diketengahkan Gerakan termasuklah pemberian ganjaran setimpal, laluan kerjaya yang jelas, serta persekitaran kerja yang lebih kondusif dan bermaruah.
“Isu ini bukan baharu. Ia telah lama membara. Dari mogok doktor kontrak hingga keluhan jururawat yang keletihan dengan waktu kerja berlebihan dengan semuanya menunjukkan betapa sistem kesihatan kita sedang berada di ambang krisis,” katanya.
Sehubungan itu katanya, KKM perlu merangka pelan jangka panjang.
“Setiap doktor yang meninggalkan tanah air adalah satu kehilangan besar kepada sistem kesihatan dan ekonomi penjagaan masa depan negara.
“Sudah tiba masanya kerajaan berhenti bergantung kepada penyelesaian jangka pendek dan mula menangani punca sebenar,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.