
KUALA LUMPUR, 17 Jun 25 – Peguam Kanan Haniff Khatri Abdulla mengesyorkan agar Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh direhatkan sementara berikutan terdapat prosiding dan laporan polis terhadapnya.
Haniff berkata, langkah itu perlu dibuat demi mempertahankan integriti mahkamah.
“Isunya bukan tentang individu biasa, isunya tentang integriti mahkamah dan kehormatan rakyat kepada mahkamah, adakah dengan wujudnya pengetahuan umum tentang kewujudan prosiding penghinaan mahkamah dan laporan polis berkenaan maka rakyat akan yakin dan hormat sistem kehakiman sekiranya individu berkenaan dibenarkan pada masa ini masih mendengar rayuan atau permohonan.
“Saya syorkan pihak berkenaan Pejabat Ketua Hakim Negara ambil langkah patut, bukan memprejudiskan Ahmad Teriruddin tetapi untuk mengukuhkan hormat dan integriti mahkamah.
“Memandangkan ada dua perkara tersebut membabitkan Ahmad Teriruddin maka ketua hakim negara merehatkan beliau daripada menjalankan fungsi sebagai hakim mahkamah Persekutuan dalam mana- mana panel rayuan mahupun permohonan,” kata Haniff dalam rakaman video di media sosialnya.
Haniff mencadangkan sekiranya dua perkara itu iaitu prosiding mahkamah dan siasatan polis selesai dan memihak Ahmad Teriruddin tidak didapati menghina mahkamah dan polis dapati tidak ada tindakan jenayah lanjut maka dengan serta merta beliau boleh berfungsi kembali.
“Adakah ianya moral beretika dan molek untuk seseorang menghadapi prosiding penghinaan mahkamah dan siasatan polis dibuat mendengar kes rayuan atau permohonan sebagai hakim mahkamah Persekutuan.
“Walaupun belum ada perbicaraan prosiding penghinaan mahkamah yang cuma akan berlangsung pada 19 Ogos. Kita tak tahu siasatan polis menjurus apa apa cadangan pertuduhan jenayah,” kata Haniff lagi.
Namun jika perkara sebaliknya berlaku, Haniff berkata sebaiknya tempoh pemberhentian perjawatan hakim mahkamah Persekutuan diambil segera kerana ia akan menaikkan nama baik dan imej serta integriti dan kehormatan mahkamah.
“Pada masa sama dalam keadaan terdapat jawatan tertinggi kehakiman yang akan kosong mulai awal Julai sampai Oktober tahun ini saya syorkan dengan rendah diri, apa apa permohonan untuk menaikkan nama Ahmad Teriruddin Mohd Salleh sebagai hakim mengisi mana-mana jawatan tersebut ditangguhkan dulu sehingga dua perkara itu selesai,” tambahnya. @politiko.my