Konflik Antara Feudal Dan Reformis Dalam Bersatu – Kata Bekas Profesor

KUALA LUMPUR, 14 Okt 25 – Konflik dalaman yang kini menjadi krisis dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sekadar pertentangan antara pemimpin, sebaliknya mencerminkan pertembungan dua ethos politik antara generasi lama yang masih berpaut pada politik naungan dan generasi baharu yang cuba membawa reformasi politik lebih demokratik dan progresif.

Pandangan itu dikemukakan oleh Mantan Profesor Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Fauzi Abdul, yang menyifatkan perpecahan dalam Bersatu sebagai “konflik falsafah antara feudal dan reformis” dalam menentukan hala tuju politik Melayu masa depan.

“Pertentangan dua pihak yang zahirnya bertentangan dalam parti Bersatu menggambarkan konflik ethos antara generasi yang ingin mengekalkan politik naungan — atau politik feudal — dan generasi yang ingin maju ke depan dengan politik baharu yang berasaskan wacana demokratik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kelompok reformis dalam Bersatu terdiri daripada tokoh seperti Wan Saiful Wan Jan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Saifuddin Abdullah, yang sebelum menyertai parti itu sudah terkenal sebagai sarjana dan aktivis wacana progresif.

“Golongan ini mempunyai gagasan politik berkemajuan yang mampu menggerakkan politik Malaysia, khususnya politik Melayu-Muslim, ke arah masa depan yang lebih terbuka dan tidak terikat pada politik identiti sempit,” jelasnya.

Dr. Ahmad Fauzi memberi amaran bahawa sekiranya kepimpinan Bersatu benar-benar berhasrat mengambil tindakan disiplin terhadap kumpulan reformis itu, termasuk ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, maka langkah itu akan menjadi satu “pembunuhan intelektual” terhadap masa depan parti.

“Ia akan menyisihkan ramai golongan cendekiawan dalam Bersatu dan menutup ruang sokongan anak muda yang kini mencari politik lebih segar dan rasional,” katanya lagi.

Beliau turut membandingkan situasi Bersatu dengan PAS, yang dilihat semakin berusaha memodenkan pendekatan politiknya bagi menolak persepsi ekstremisme dan membuka ruang kepada wacana lebih inklusif.

“Ketika PAS sedang mengorak langkah ke arah parti yang lebih moden dan terbuka, Bersatu pula dilanda krisis cetusan ‘old guard’ yang mengelilingi presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin — dengan gaya politik naungan ala-UMNO yang pernah menghancurkan parti keramat Melayu itu,” ujarnya.

Dr. Ahmad Fauzi menutup analisisnya dengan menyatakan bahawa jika Bersatu gagal menyesuaikan diri dengan tuntutan generasi baharu, parti itu akan kehilangan daya tarikan politik jangka panjang, terutama dalam kalangan pengundi muda dan profesional Melayu yang mendambakan politik nilai, bukan politik individu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share