
KUALA LUMPUR, 30 DIS 25 — Krisis politik yang melanda Perlis ketika ini lebih mencerminkan konflik dalaman antara Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) berbanding sekadar isu pertukaran menteri besar, kata penganalisis politik Prof Madya Dr Malike Brahim dari UUM.
Menurut beliau, kemelut berpanjangan itu memperlihatkan kegagalan kedua-dua parti utama PN mengurus perbezaan kepentingan dan kuasa secara matang, sehingga mencetuskan persepsi negatif bukan sahaja dalam kalangan rakyat, malah pemerhati politik di luar gabungan berkenaan.
“Krisis ini seolah-olah menunjukkan PAS dan Bersatu dalam PN Perlis tidak cekap mengurus konflik dalaman, hingga akhirnya membawa isu politik negeri ke tahap melibatkan peranan dan pengaruh institusi istana,” katanya ketika mengulas perkembangan semasa politik negeri itu.
Dr Malike berkata, walaupun keputusan istana telah memuktamadkan pelantikan menteri besar baharu, persoalan sebenar yang masih belum terjawab ialah sama ada konflik Bersatu–PAS dapat diselesaikan, atau sekadar ditangguhkan buat sementara waktu.
Beliau turut mempersoalkan perbezaan pendekatan kedua-dua parti, khususnya apabila PAS bertindak tegas memecat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sehingga mewujudkan kekosongan kerusi, sedangkan Bersatu masih berdepan dilema sama ada akan mengambil tindakan terhadap ADUN parti itu yang menandatangani akuan bersumpah (SD).
“Ini menimbulkan tanda tanya besar — adakah Bersatu berani bertindak seperti PAS, atau konflik ini akan terus membara kerana wujud layanan berbeza dalam PN sendiri,” katanya.
Menurut Dr Malike, meskipun Perlis merupakan negeri kecil dengan jumlah DUN yang terhad, pola politik yang ditunjukkan amat signifikan, kerana ia mencerminkan perebutan pengaruh antara parti majoriti dan minoriti dalam gabungan pemerintah.
Beliau berkata, sebahagian pihak sebenarnya mengharapkan pembubaran DUN bagi menguji kekuatan sebenar PAS dan Bersatu dalam pilihan raya, namun kegagalan kepimpinan terdahulu menghala naratif ke arah itu menyebabkan konflik berkenaan hanya “dibekukan”, bukannya diselesaikan.
“Pelantikan menteri besar baharu bukan penamat krisis. Tanpa formula politik yang jelas dan dipersetujui bersama, PN berisiko kehilangan Perlis akibat perpecahan dalaman antara PAS dan Bersatu,” katanya.
Dr Malike turut memberi amaran bahawa situasi semasa membuka ruang kepada kemungkinan pertukaran kerajaan sekiranya konflik tidak dikawal, sambil menegaskan kepentingan PN menyusun semula barisan Exco secara lebih seimbang mengikut kekuatan kerusi setiap parti.
“Isu siapa majoriti atau minoriti tidak sepatutnya timbul jika wujud konsensus. Namun realitinya, konflik kuasa inilah yang menjadi punca ketidakstabilan,” katanya.
Beliau menambah, sentimen istana juga tidak boleh dipandang ringan memandangkan kuasa melantik menteri besar terletak sepenuhnya di tangan Raja, dan kegagalan PN mengurus hubungan dalaman dengan baik hanya akan terus melemahkan gabungan itu.
“Jika PAS dan Bersatu gagal kembali berpegang kepada panji PN, retak yang berlaku hari ini berpotensi membawa kepada perpecahan yang lebih besar,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.