
KUALA LUMPUR, 12 DIS 25 — Konvensyen Melayu 153 yang bakal berlangsung Sabtu ini dijangka menjadi medan penting untuk menentukan sama ada kepimpinan Melayu mampu mencapai kesepakatan strategik menjelang pilihan raya umum akan datang, kata bekas menteri
Datuk Zaid Ibrahim menyifatkannya sebagai platform untuk merumuskan “halatuju bersama yang lebih tegas dan berani.”
Antara fokus utama ialah mencapai persetujuan tentang dasar ekonomi yang memberi keutamaan kepada rakyat tempatan.
“Kita perlukan dasar yang menutup ruang ketirisan dan memastikan keutamaan ekonomi kembali kepada rakyat Malaysia, bukan kepada pelabur asing semata-mata,” katanya, dalam hantaran media sosial.
Selain itu, Zaid berkata isu Perjanjian PerdaganganAnwar-Trump, turut dijangka menjadi tumpuan.
“Jika perjanjian ini menjejaskan kedaulatan ekonomi negara, maka ia mesti ditinggalkan,” katanya.
Konvensyen tersebut dijangka turut mengusulkan laporan tahunan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja mengenai projek dan peruntukan Bumiputera di bawah Perkara 153.
“Laporan ini bukan soal politik—ia soal kebertanggungjawaban seperti yang dituntut Perlembagaan,”tambah Zaid lagi.
Bagi menjamin keseimbangan nasional, laporan tahunan mengenai peruntukan kepada kaum lain sebagaimana yang juga dibenarkan oleh Perkara 153 turut dicadangkan.
“Keadilan ekonomi mesti menyeluruh. Itu syarat untuk perpaduan yang sebenar,” katanya.
Konvensyen Sabtu ini juga katanya bakal menguji kemampuan pemimpin Melayu mencapai kata sepakat yang benar-benar bermakna.
“Persoalannya mudah: adakah kita berani membuat keputusan besar demi masa depan negara?” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.