
KUALA LUMPUR, 4 Jun 25 – Kerajaan digesa tidak menggunakan slogan pentadbiran sebagai nama inisiatif kerajaan, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Jelasnya, penjenamaan menggunakan slogan kerajaan semasa akan membazirkan dana rakyat sekiranya ianya berubah pada masa pentadbiran kerajaan akan datang.
“Amalan menggunakan slogan pentadbiran sebagai nama inisiatif kerajaan perlu dihentikan.
“Sebelum ini kita melihat pelbagai inisiatif dijenamakan dengan slogan kerajaan semasa.
“Berapa banyak wang rakyat terpaksa dibazirkan apabila slogan kerajaan berubah dan pelabelan itu juga diubah,” katanya, dalam satu kenyataan di Facebook.
Ahli Parlimen Bersatu itu mempersoalkan kewajaran menggunakan nama ‘Kota Madani’ untuk projek pembangunan di Putrajaya, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Anwar dan semua pemimpin hari ini dan pemimpin akan datang jangan jadi narsisis. Sifat narsisistik pemimpin hanya akan merugikan wang rakyat kerana kos sebenar akan ditanggung oleh rakyat.
“Adalah lebih baik penjenamaan yang lestari dan nama yang tidak berubah walaupun pentadbiran bertukar digunakan untuk projek-projek diusahakan oleh kerajaan,” kata Wan Saiful.
Jelasnya, kerajaan perlu mengubah amalan-amalan pentadbiran terdahulu yang menggunakan konsep sama.
Ketika sesi pembentangan projek itu, Anwar berkata kemudahan dirancang termasuk sekolah menegak serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya, institusi kewangan, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan masjid juga akan dibangunkan berdekatan kawasan perumahan.
Fasa pertama membabitkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, turut berkata Kota Madani dengan keluasan 41.28 hektar itu bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk dan dibina secara vertikal berintensiti tinggi.
Beliau berkata, reka bentuknya mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan, prasarana digital berkecekapan tinggi dan sistem mobiliti hijau. @politiko.my