
KUALA LUMPUR, 1 DIS 25 — Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dun Tanjung Kapor, Affan Jumahat, mendedahkan dua punca utama kekalahan besar PN dalam PRN Sabah 2025, antaranya kekurangan dana kempen dan kegagalan Presiden parti memberikan sokongan serta kepimpinan yang mencukupi.
Affan berkata hampir keseluruhan operasi kempen PN lumpuh kerana parti tidak menyediakan dana secukupnya untuk jentera, logistik dan pergerakan pengundi.
“Parti ini tidak ada dana yang cukup… kebanyakan jentera tidak dapat dibiayai sepenuhnya, jadi kebanyakkan jentera lari.”
Beliau menegaskan bahawa penerimaan rakyat sebenarnya positif, tetapi tanpa peruntukan kewangan yang asas, kempen tidak dapat digerakkan dengan berkesan.
“Sokongan memang ada. Tapi bila bab biayai perjalanan untuk keluar mengundi, kita tak dapat tunaikan. Itu menyebabkan orang kita lari.”
Affan turut mengakui realiti budaya pengundian Sabah yang meletakkan “penganuan” atau bantuan kewangan sebagai faktor penting.
“Di Sabah memang 80% pengundi utamakan penganuan. Kalau tak mampu biayai keperluan mereka, memang susah mereka undi kita.”
Kekangan dana itu memberi kelebihan besar kepada parti-parti yang lebih mampu membiayai jentera dan pengundi, termasuk calon yang terpalit skandal.
Affan juga secara langsung menegur Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan tidak membantu calon-calon PN.
Menurutnya, Presiden gagal menyediakan sebarang sokongan kewangan yang diperlukan calon-calon PN di Sabah.
“Sedihlah… Tan Sri presiden kami ini dia tidak keluarkan duit, tak biayai calon-calon yang ada dan tidak touch betul-betul dengan kempen.”
Affan menyifatkan kegagalan Presiden mengurus dana dan menyokong kempen calon sebagai punca kelemahan ketara PN dalam PRN kali ini.
“Disebabkan itu kita nampaklah weakness on the party.”
Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Pengarah Pilihan Raya, Hamzah Zainudin yang telah memberi bantuan dan sokongan padu kepada calon-calon PN.
“Hamzah Zainuddin ini dia punya sokongan sangat baik, tapi kita faham dia pun perlu tampung semua tempat, manalah dapat (hamzah) nak (beri). Ujarnya.
Ketika mengulas isu kemenangan calon-calon yang terpalit skandal rasuah di Sabah, Affan berkata ini disebabkan mereka mempunyai sumber kewangan untuk membiayai jentera dan menarik pengundi.
“Calon terlibat skandal masih menang, ini disebabkan dia orang mempunyai cukup dana untuk biaya jentera secukup-cukupnya, dengan keperluan yang cukup jadi benda-benda ni isu-isu tiga serangkai ini (skandal rasuah) dilupakan untuk kita sewaktu PRN. Ujarnya.
Dalam PRN Sabah baru-baru ini, Affan Jumahat memperolehi undi sebanyak 1,262. Secara keseluruhannya, PN mencatatkan prestasi yang sangat buruk dengan hanya menang satu kerusi daripada 41 yang ditandingi. Ini mengesahkan kegagalan besar PN yang dipimpin Muhyiddin Yassin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.