
ALOR SETAR | 12 Mei 26 — Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terus memuncak apabila seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu dilaporkan dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin parti.
Berdasarkan dokumen notis rasmi bertarikh 8 Mei 2026, ADUN Derga merangkap Ketua Bahagian Pokok Sena, Mohamad Amri Wahab, digantung hak keahliannya selama dua penggal pemilihan parti.
Surat yang ditandatangani atas kapasiti Lembaga Disiplin BERSATU itu memaklumkan tindakan diambil di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti atas dakwaan melanggar Fasal 9.1.4 berkaitan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang dan telah memutuskan bahawa YB digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh dua penggal pemilihan BERSATU,” menurut notis berkenaan.
Melalui penggantungan itu, Amri turut dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti dan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama BERSATU sepanjang tempoh hukuman.
Beliau bagaimanapun diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti.
Perkembangan terbaru ini menambah lagi tekanan terhadap kepimpinan tertinggi BERSATU yang kini berdepan kritikan berhubung tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin akar umbi dan wakil rakyat parti sejak kebelakangan ini.
Tindakan terhadap Amri turut mencetuskan persoalan mengenai kestabilan dalaman BERSATU di Kedah ketika parti itu sedang berusaha memperkukuh kedudukan politik menjelang landskap baharu politik nasional. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.