
KUALA LUMPUR | 4 Mac 26 – Ketua Bersatu Bahagian Bagan, Huzair Bin Osman, mengumumkan peletakan jawatan beliau serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat rasmi bertarikh hari ini yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam surat berkenaan, Huzair menyatakan keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan mendalam dan atas prinsip perjuangan politiknya.
“.. saya, Huzair Bin Osman, mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Bagan serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam surat tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan itu dibuat kerana telah hilang sepenuhnya kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam menerajui hala tuju serta perjuangan parti.
“Saya telah hilang sepenuhnya kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden parti dalam menerajui hala tuju serta perjuangan parti,” jelasnya.
Menurut beliau, pendirian tersebut diambil demi prinsip dan integriti perjuangan politiknya. Salinan surat berkenaan turut disalurkan kepada Pengerusi Perhubungan Bersatu Negeri Pulau Pinang.
Terdahulu, empat orang Ketua Bahagian di Wilayah Persekutuan mengumumkan meletakkan semua jawatan dalam BERSATU. Perkembangan ini sekaligus menggambarkan perpecahan besar sedang berlaku dalam BERSATU. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.