Laporan Dakwa PM Tangguh Laporan Azam Baki, Tuan Ibrahim Tuntut Ketelusan

KUALA LUMPUR | 31 Mac 26 — Kontroversi membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kembali memuncak selepas laporan Bloomberg mendedahkan dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya hasil siasatan terhadap pegangan saham Azam tidak didedahkan segera kepada umum.

Menurut Bloomberg, arahan tersebut didakwa dikeluarkan kepada pegawai-pegawai kerajaan walaupun siasatan oleh jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara telah selesai dan dibentangkan kepada Kabinet.

Perkembangan itu mencetuskan reaksi keras Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan tindakan berkenaan, jika benar, sebagai satu pengkhianatan terhadap prinsip ketelusan.

“Laporan ini, jika benar, adalah satu pengkhianatan besar terhadap prinsip ketelusan yang Perdana Menteri sendiri janjikan di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim merujuk kepada kenyataan Anwar di Dewan Rakyat pada 3 Mac lalu yang memberi jaminan bahawa siasatan terhadap Azam Baki akan dijalankan secara telus dan mengikut proses wajar.

Namun, beliau mempersoalkan mengapa laporan tersebut masih belum didedahkan kepada umum walaupun proses siasatan telah selesai.

“Persoalannya mudah: Jika dapatan siasatan itu membuktikan Azam Baki tidak bersalah, mengapa perlu disembunyikan? Dan jika dapatan itu membuktikan beliau bersalah, mengapa beliau masih berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya?” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan, laporan tersebut perlu didedahkan kepada rakyat tanpa berlengah.

Dalam masa sama, Tuan Ibrahim turut membangkitkan percanggahan pendirian Perdana Menteri berhubung isu sama sebelum ini.

Menurutnya, pada tahun 2022 ketika menjadi ketua pembangkang, Anwar merupakan antara yang lantang mendesak supaya Azam Baki digantung tugas sementara siasatan dijalankan.

“Hari ini, sebagai Perdana Menteri, beliau bukan sahaja enggan menggantung Azam, malah telah membaharui kontrak beliau sebanyak tiga kali,” katanya.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai bukti bahawa prinsip ketelusan dan akauntabiliti hanya digunakan secara terpilih.

Isu tersebut turut dikaitkan dengan pendedahan terdahulu oleh Bloomberg yang melaporkan dakwaan serius melibatkan pegangan saham melebihi had dalam kalangan penjawat awam serta kewujudan rangkaian yang digelar sebagai “mafia korporat” membabitkan pegawai kanan SPRM.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memberi amaran bahawa kegagalan mendedahkan laporan siasatan berkenaan akan memberi kesan negatif kepada keyakinan pelabur serta imej negara.

“Apabila Perdana Menteri menghalang pendedahan laporan siasatan, mesej yang dihantar kepada rakyat dan dunia adalah jelas: Malaysia tidak serius dalam memerangi rasuah,” katanya.

Beliau mengemukakan beberapa tuntutan, antaranya supaya laporan siasatan didedahkan sepenuhnya dalam tempoh tujuh hari, selain mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan “mafia korporat”. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share