Kenaikan Diesel: Beban Senyap Kaum Ibu, KPWKM Terus Membisu

KUALA LUMPUR | 14 Apr 26 – Kenaikan mendadak harga diesel di Semenanjung Malaysia yang mencecah lebih 70 peratus sejak pertengahan 2024 bukan sekadar isu fiskal, tetapi kini dilihat sebagai krisis senyap yang paling kuat dirasai oleh kaum ibu.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr Armin Baniaz Pahamin berkata, beban sebenar kenaikan diesel tidak terhenti di sektor pengangkutan atau industri, sebaliknya akhirnya “mendarat di dapur” dan ditanggung oleh ibu yang mengurus perbelanjaan harian keluarga.

“Setiap kenaikan diesel akan diterjemahkan kepada harga makanan, kos logistik dan perbelanjaan harian. Dan yang mengimbangi semua ini adalah ibu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, fokus dasar dan wacana awam ketika ini terlalu tertumpu kepada sektor seperti pengusaha lori, petani dan nelayan, sedangkan kesan berlapis yang ditanggung wanita, khususnya ibu, tidak diberi perhatian sewajarnya.

Katanya, kenaikan harga barang asas seperti beras, ayam, ikan dan sayur-sayuran memaksa ibu membuat keputusan sukar, termasuk mengurangkan kualiti makanan keluarga atau memotong perbelanjaan pendidikan anak-anak.

Golongan paling terkesan, katanya, adalah ibu tunggal yang dianggarkan melebihi 300,000 orang di Malaysia dengan purata pendapatan sekitar RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.

“Mereka bukan sahaja berdepan kenaikan kos makanan, tetapi juga kos pengangkutan seperti van sekolah yang meningkat susulan harga diesel. Dalam banyak kes, mereka tiada pilihan selain menanggung kenaikan ini,” katanya.

Selain itu, wanita yang menjalankan perniagaan kecil seperti katering dan gerai makanan turut terhimpit apabila kos bahan mentah dan penghantaran meningkat, sekali gus menjejaskan margin keuntungan yang sedia nipis.

Dalam masa sama, Dr Armin mempersoalkan ketiadaan respons khusus daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sejak isu kenaikan diesel timbul.

“Sehingga kini, tiada kenyataan dasar atau program khusus yang menangani kesan kenaikan diesel terhadap kaum ibu. Ini menimbulkan persoalan serius tentang keutamaan dasar dan sensitiviti gender dalam kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kementerian berkenaan tidak boleh terus berdiam diri dan perlu tampil menjelaskan pendirian serta langkah segera bagi melindungi golongan tersebut.

“Apabila dasar ekonomi memberi tekanan, ibu menjadi ‘shock absorber’ negara. Tetapi mereka tidak boleh terus dibiarkan menanggung beban ini tanpa pembelaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu mengiktiraf bahawa kenaikan diesel bukan hanya isu ekonomi, tetapi juga isu keadilan sosial yang memerlukan pendekatan dasar lebih menyeluruh dan sensitif gender.

“Beban diesel tidak berhenti di pam minyak — ia berakhir di dapur, di bahu seorang ibu,” tegas beliau. 

Ketika ini, harga diesel di semenanjung telah mencecah RM 6.72 seliter. Banyak pihak daripada Pesawah, peniaga kecil dan pengusaha stesen minyak sendiri. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share