
KUALA LUMPUR, 31 DIS 25 — YB Dato’ Zainol Fadzi Paharudin menafikan sekeras-kerasnya hantaran palsu yang mendakwa Datuk Seri Hamzah Zainudin meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang, sambil menegaskan ia bertujuan memberi persepsi negatif terhadap beliau.
Menurut Zainol Fadzi, setiap kali isu melibatkan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin timbul, ada pihak tertentu cuba mengaitkan atau menyeret nama DS Hamzah secara tidak wajar.
“Mereka tidak aman apabila DS Hamzah berdiam diri dan tidak memberikan respon terhadap isu yang timbul. Begitulah kenyataan palsu ini timbul bagi memberi persepsi negatif terhadap beliau, dengan tujuan mengeruhkan lagi situasi dan hubungan dalam komponen Perikatan Nasional (PN), terutama dengan PAS,” katanya kepada politiko.
Beliau menambah, tindakan itu secara tidak langsung memberi gambaran buruk terhadap DS Hamzah di kalangan ahli parti dan masyarakat awam, dan menegaskan isu berkenaan tidak berasas sama sekali.
Terdahulu, beberapa media membuat laporan terdapat dua kenyataan berasingan yang didakwa daripada Hamzah, satu meletak jawatan daripada jawatan yang tidak dinyatakan dalam Perikatan Nasional (PN), dan satu lagi meletak jawatan sebagai ketua pembangkang.
Namun, difahamkan laporan tersebut telah diturunkan dari paparan media dan diganti dengan status laporan palsu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.