
KUALA LUMPUR, 27 NOV 25 — Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh susulan peletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, peletakan jawatan itu tidak boleh dipisahkan daripada isu surat sokongan yang dikeluarkan oleh Shamsul kepada beberapa kontraktor bagi projek di bawah Kementerian Kesihatan pada tahun lalu yang mana isu tersebut turut dibangkitkan dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
PN turut merujuk pendedahan seorang ahli perniagaan yang mendakwa beliau menyerahkan lebih RM600,000 kepada individu yang sama berkait skandal perlombongan mineral di Sabah.
“SPRM perlu menyiasat tanpa berlengah kerana dakwaan ini melibatkan pegawai kanan Perdana Menteri. Jika tidak ditangani dengan segera, ia boleh menjejaskan kredibiliti semua inisiatif kerajaan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang,” kata Takiyuddin.
PN juga menggesa semua pihak yang terlibat untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM, dan menegaskan sebarang salah laku mesti diambil tindakan tanpa pengecualian atau pilih kasih. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.