Anwar Perdana Menteri Penipu Yang Menakjubkan, Kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 5 Ogos 25 – Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya dua bekas perdana menteri itu mempunyai sumber kekayaan masing-masing RM4 bilion dan RM1.2 bilion.

Sedangkan kata Dr Mahathir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri berpuas hati dengan aset yang diisytiharkan oleh Tan Sri Mokhzani Mahathir adalah bernilai sekitar RM1 bilion manakala Mirzan Mahathir pula mengisytiharkan harta sebanyak RM246.2 juta.

“Dari mana dia mendapat semua angka dan kenyataan ini? Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sendiri telah menjalankan siasatan penuh.

“Azam menyatakan SPRM berpuas hati dengan pengisytiharan yang dibuat oleh Mokhzani dan Mirzan seperti yang dinyatakan di atas,” kata Dr Mahathir, dalam hantaran Facebook.

Jelas negarawan itu, kenyataan Anwar seolah-olah mahukan beliau dan anak-anaknya menjual kesemua harta yang mereka ada.

“Mengapa saya atau anak-anak saya perlu mengaku sesuatu yang tidak benar? saya atau anak-anak saya tidak pernah mengisytiharkan kami memiliki RM1.2 bilion atau RM4 bilion.

“Adakah Anwar menuntut supaya kami menjual semua harta dan menyerahkan hasil jualan kepada kerajaan?

“Atas dasar apa dia membuat tuntutan ini?,” soalnya.

Katanya, SPRM sendiri tidak pernah mengatakan sumber kekayaan anak-anak beliau tidak jelas.

Sebaliknya, nilai yang dinyatakan adalah merangkumi harta, saham, liabiliti dan sebagainya yang diperoleh sepanjang lebih 20 tahun menjalankan perniagaan.

“Nilai-nilai ini meningkat dari semasa ke semasa.

“SPRM tidak pernah menyatakan bahawa sumber kekayaan itu adalah ‘tidak jelas atau tidak sah’…SPRM dan Azam tidak boleh menyatakan mereka berpuas hati ‘jika pengisytiharan itu tidak jelas atau tidak sah’,” tegas Dr Mahathir lagi.

Dr Mahathir juga menjelaskan, himpunan Turun Anwar baru-baru ini bukan bertujuan menyokong anak-anaknya sebaliknya ia adalah tunjuk perasaan oleh rakyat yang menolak Anwar.

“Rakyat sedang mendesak Anwar supaya meletak jawatan. Mereka tidak mahukannya kerana kepimpinannya sebagai perdana menteri telah menyebabkan pelbagai penderitaan kepada rakyat.

“Jika beliau tidak percaya bahawa rakyat tidak mahukannya sebagai perdana menteri, beliau seharusnya membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum.

“(Lagipun) yang turun ke jalan bukan ahli Parlimen maka, usul dalam Parlimen tidak relevan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share