Lebih Ramai Dalam ‘Radar’ Termasuk SPRM – YDP Agong

Foto – Istana Negara

KUALA LUMPUR | 16 Feb 26 — DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan amaran tegas bahawa lebih ramai pihak kini berada dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah secara menyeluruh tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.

Dalam titah kepada Royal Press Office (RPO) hari ini, Baginda menegaskan bahawa rasuah adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.

“Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima… malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.

“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Tidak kira apa jua pangkat anda…, begitu juga ejen-ejen yang menjadi ‘orang tengah’ selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan…, anda juga dalam ‘radar’.

“Bah kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’…, jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik, sebaliknya mesti dilaksanakan secara tegas dan konsisten kerana tiada siapa boleh terlepas daripada undang-undang.

Baginda juga bertitah bahawa sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah Seri Paduka Baginda lagi.

Titah berkenaan dilihat sebagai mesej jelas bahawa perang terhadap rasuah bukan sahaja menyasarkan pelaku di barisan hadapan, malah turut merangkumi mereka yang bersekongkol di belakang tabir — tanpa mengira kedudukan, pangkat atau pengaruh.

Ketika ini, desakan rakyat agar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan semakin kuat berikutan pendedahan kontroversi media Bloomberg mengenai pemilikan saham syarikat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share