
KUALA LUMPUR | 4 Feb 26 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mengesahkan beliau telah menghadiri sesi pendengaran Lembaga Rayuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Selasa lalu, sambil mempersoalkan layanan pertuduhan yang tidak seimbang dalam penguatkuasaan disiplin parti.
Menurut beliau, antara tuduhan utama ialah mengusahakan penubuhan Majlis Eksekutif Perikatan Nasional (PN) serta didakwa menyerang pimpinan parti secara terbuka.
Wan Saiful mempersoalkan kesahihan tuduhan tersebut dengan menjelaskan bahawa idea penubuhan Majlis Eksekutif PN sebenarnya dicadangkan sendiri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi surat kepada presiden-presiden parti dalam PN, walaupun ia didakwa ditolak oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
“Penubuhan Majlis Eksekutif adalah perkara yang Muhyiddin sendiri usulkan dalam surat beliau kepada Presiden-Presiden parti dalam PN. Kalau ikut tuduhan kepada saya, idea ini telah ditolak oleh Biro Politik dan MPT.
Beliau turut mempersoalkan sama ada aduan disiplin yang dibuat terhadapnya turut dikenakan kepada Muhyiddin, memandangkan tindakan yang sama dilakukan oleh presiden parti itu.
“Habis tu, Tun Faisal yang membuat aduan terhadap saya mengenai isu (ini), tak mahu buat aduan juga mengenai Muhyiddin?
“Kalau saya usahakan penubuhan Majlis Eksekutif, dia kata langgar disiplin. Sekarang Muhyiddin pun usahakan juga. Muhyiddin tak langgar disiplin parti kah? Soal Wan Saiful.
Selain itu, Wan Saiful menimbulkan isu ketidakkonsistenan penguatkuasaan disiplin apabila beliau dituduh menyerang pimpinan parti secara terbuka, sedangkan serangan terbuka oleh Tun Faisal pihak terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak pula dikenakan tindakan.
“Tun Faisal menyerang Dato Seri Hamzah Zainudin juga secara terbuka. Ini tak melanggar disiplin parti kah? Katanya.
Situasi itu, menurut Wan Saiful, menimbulkan persoalan sama ada wujud dua kategori atau ‘kasta’ dalam Bersatu — satu yang tertakluk kepada peraturan, dan satu lagi yang bebas bertindak tanpa dikenakan tindakan disiplin.
Beliau menegaskan persoalan itu bukan bersifat peribadi, sebaliknya menyentuh soal keadilan, konsistensi dan integriti pengurusan parti.
Menurut Wan Saiful, sesi pendengaran itu berlangsung pada 3 Februari 2026 dari jam 10.15 pagi hingga 11.45 pagi, dipengerusikan oleh Tan Sri Azhar Harun dan dihadiri empat lagi ahli Lembaga Rayuan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.