
KUALA LUMPUR | 10 Feb 2026 – Datuk Dr Radzi Jidin meluahkan kekecewaan dan keresahannya berhubung kemelut politik dalaman BERSATU dengan satu karangan sajak di laman facebook beliau.
Dalam tulisan itu, sajak beliau menyifatkan “peritnya tiada damai” setelah berbulan-bulan konflik pimpinan BERSATU tidak selesai.
Berikut adalah sajak beliau.
Peritnya Tiada Damai
Banyak sudah purnama berlalu
Diusaha agar duduk berpadu
Usah ada rasa ragu
Cerca nista ketepi dahulu
Damai jadi jalan dituju
Siang malam memerah keringat
Ke hulu ke hilir mencari sepakat
Menjadikan damai kata azimat
Membawa yang jauh kembali mendekat
Agar perjuangan mendapat berkat
Biarpun suasana makin berhaba
Mencari damai diterus jua
Kerana disedari di luar sana
Ramai mengharap kepada kita
Demi agama, bangsa dan negara
Bukannya mudah mencari damai
Bila percaya mula terlerai
Hilanglah sudah aman permai
Ibarat berkas lidi terburai
Patahnya mudah bila dikirai
Bila damai tidak kunjung tiba
Hati merasa perit derita
Ke mana arah di depan kita
Menggalas berat amanah pusaka
Agar pertiwi bangkit semula
Dipanjat doa kepada Yang Esa
Semoga ada cahaya purnama
Mengikat rasa setia bersama
Selepas badai besar melanda.
DRJ
Putrajaya
10 Februari 2026
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.