
KUALA LUMPUR, 23 Jul 25 – Malaysia memerlukan sebuah suruhanjaya bebas yang melindungi pemberi maklumat, kata ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wakil rakyat Bersatu itu berkata, pemberi maklumat harus dilindungi kerana berupaya menjadi penyelamat negara dalam suasana persaingan antara kuasa besar dunia hari ini.
“Jika benar kita serius tentang keselamatan negara, kedaulatan maklumat, dan integriti institusi — maka kita mesti berani meletakkan pelapor di tempat yang mulia dan dilindungi secara mutlak. Jangan buru pelapor. Buru penjenayah sebenar.
“Dalam konteks ini, peranan pemberi maklumat adalah kritikal sebagai benteng awal pertahanan negara — mereka inilah yang sering menjadi “loceng penggera” bagi ancaman dalaman dan luaran,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 yang dibentangkan sebelum ini langsung tidak memadai.
“Apa gunanya tubuhkan Jawatankuasa Perlindungan yang anggotanya dilantik oleh menteri sendiri — tanpa sebarang kebebasan institusi, kuasa penguatkuasaan, atau semak imbang parlimen?,” katanya.
“Kita mesti sedar, Malaysia yang neutral dan terbuka ini sedang menjadi medan proksi bagi konflik global — antara kuasa-kuasa besar yang bersaing secara senyap melalui teknologi, perisikan dan pengaruh halus.” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.