
KUALA LUMPUR, 31 Mei 25 – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan Malaysia perlu meneruskan dasar pandang ke timur yang dipeloporinya.
Berucap di Forum Nikkei di Tokyo, semalam, Dr Mahathir berkata, Jepun masih dilihat lagi terkehadapan dalam sektor penyelidikan sekaligus membolehkan Malaysia belajar lebih banyak perkara daripada negara matahari terbit itu.
“Terdapat juga isu lain yang dibangkitkan, termasuk mengenai Dasar Pandang ke Timur yang saya pelopori. Saya berpendapat bahawa adalah masih relevan untuk Malaysia terus memandang ke arah Jepun.
“Saya dapati industri di Jepun sentiasa menjalankan penyelidikan terhadap produk baharu termasuk dalam rawatan penyakit dan sedang mencapai pelbagai kejayaan. Saya mengagumi budaya kerja masyarakat Jepun,” katanya, dalam hantaran di laman media sosialnya.
Dalam forum tersebut Dr Mahathir turut mengulas isu tarif dikenakan Presiden Amerika Syarikat (As) Donald Trump yang menurutnya bakal memberikan kesan kepada perdagangan khususnya membabitkan negara Asean.
“Kesannya terhadap Malaysia dan Asean, memang jelas akan berlaku kemerosotan kerana perdagangan dengan Amerika Syarikat adalah signifikan.
“Namun, Asean harus melihat kepada usaha meningkatkan perdagangan dengan negara-negara lain bagi mengurangkan impak tersebut.
“Sebaliknya, Trump tidak akan menjadi presiden selama-lamanya, beliau akan berundur juga suatu hari nanti,” kata Dr Mahathir.
Beliau turut memberi bayangan forum tersebut adalah yang terakhir untuknya, selepas 30 tahun.
“Saya telah menghadiri forum ini setiap tahun sejak ia bermula 30 tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, saya hanya terlepas tiga kali disebabkan masalah kesihatan dan sekatan akibat Covid-19.
“Mungkin ini penyertaan terakhir saya dalam forum ini, tetapi saya amat menghargainya kerana ia menyediakan platform untuk berkongsi idea dan pandangan tentang masa depan Asia. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Forum Nikkei mengenai masa depan Asia,” kata Dr Mahathir lagi. @politiko.my