
KUALA LUMPUR, 3 Jun 25 – Adun Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin menggesa kerajaan mewujudkan “Skim Gas Prihatin” untuk membekalkan tong gas bersubsidi kepada golongan rentan iaitu peniaga-peniaga kecil.
Fakhruddin berkata, skim tersebut boleh dilaksanakan menerusi kerjasama antara Petronas dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara agar golongan rentan boleh terus mendapat bekalan tong gas dengan harga yang rendah.
“Kerajaan boleh kenal pasti peniaga sah melalui lesen PBT, SSM atau data e-kasih. Jangan pukul rata. Yang berniaga 10 tahun di gerai kecil tak boleh disamakan dengan restoran 5 bintang.
“ Wujudkan “Skim Gas Prihatin” melalui kerjasama Petronas dan PBT seluruh negara. Katanya.
Tambah beliau, kerajaan seharusnya menggunakan kelebihan Petronas sebagai GLC negara untuk bantu bekalkan tong gas harga rendah kepada golongan rentan.
“Jangan bebankan rakyat atas nama “penstrukturan” semata-mata. Ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas isu bekalan tong gas bersubsidi dengan tong gas komersil yang kini dikuat kuasakan kepada semua peniaga.
Dalam hal yang sama, Fakhruddin turut menggesa kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan kaedah tersebut dan mewujudkan tempoh transisi selama 12 bulan.
“Tangguhkan pelaksanaan sepenuhnya dan wujudkan tempoh transisi minimum 12 bulan.
“Berilah ruang kepada peniaga untuk sesuaikan diri. Bukan semua mampu tanggung kos baru secara tiba-tiba. Buat kajian lapangan, dengar suara penjaja, bukan hanya buat keputusan di atas kertas. Ujarnya.
Mengulas isu tersebut, wakil rakyat Sura ini berkongsi keluhan dari rakyat mengenai isu yang sama.
“Saya menerima banyak keluhan daripada rakyat Sura, khususnya peniaga kecil, ibu tunggal yang menjual kuih, pengusaha makanan tepi jalan, pemilik kedai makan. Isunya satu: harga gas memasak naik melambung.
“Dulu mereka guna tong subsidi berharga RM26.60. Kini diarahkan tukar kepada tong komersial RM70. Dalam sekelip mata, kos naik lebih dua kali ganda.
“Bayangkan, warung kecil yang guna 3 tong sehari, sekarang terpaksa tanggung RM6,300 sebulan, berbanding RM2,394 sebelum ini. Kenaikan lebih RM3,900 sebulan, itu hanya untuk gas sahaja. Tambahnya.
Bermula 1 Mei lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pelaksanaan OPS GASAK bagi mengekang ketirisan serta penyelewengan tong Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi, namun keadaan ini menimbulkan rungutan dan persoalan tentang penarikan subsidi tong LPG.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menafikan kerajaan memansuhkan subsidi tong LPG, sebaliknya ia adalah inisiatif penguatkuasaan untuk membanteras manipulasi dan ketirisan (KITA GEMPUR) yang telah dilancarkan pada 19 Oktober tahun lalu. @politiko.my