
KUALA LUMPUR, 16 JUN 25 – Kehidupan rakyat keseluruhannya akan mula dibebani dengan penyakit ekonomi bermula 1 Julai depan susulan keputusan kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi dan peluasan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST), kata wakil rakyat Bersatu.
Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, bermula tempoh itu, penyasaran subsidi RON95 akan bermula dengan kenaikan bil elektrik yang bakal menghimpit kehidupan rakyat disamping SST.
“Saya ingin bertanya kepada perdana menteri; sedarkah bahawa bermula 1 Julai 2025, rakyat akan dibebani oleh ‘penyakit ekonomi tiga serangkai’?,” katanya, dalam kenyataan.
Lebih parah katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak faham dengan dua sistem percukaian itu apabila keliru GST – cukai barangan dan perkhidmatan – dengan cukai perkhidmatan am dan SST – sebagai cukai untuk barangan import.
“Jangan terus menambah derita rakyat dengan dasar yang keliru dan tidak berpijak pada realiti. Rakyat bukan makmal eksperimen ekonomi. Mereka adalah manusia yang punya keluarga untuk disara, kehidupan untuk dijaga
“Bukan, saya tidak maksudkan penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Tetapi satu bentuk penderitaan yang tak kurang parahnya, ‘sakit’ dengan kenaikan dan peluasan SST; ‘kencing’ dengan penyasaran subsidi RON95; ‘tinggi’ bil elektrik yang bakal menghimpit isi rumah B40 dan M40.
Saifuddin yang juga bekas menteri luar berkata, keadaan agak membimbangkan untuk rakyat apabila perdana menteri sebagai menteri kewangan gagal memahami konsep cukai berkenaan.
“Lebih membimbangkan, kesilapan ini datang daripada seorang perdana menteri yang juga memegang portfolio menteri kewangan.
“Jika ketua kerajaan sendiri gagal memahami sistem percukaian yang beliau kendalikan, bagaimana mungkin rakyat boleh meletakkan keyakinan bahawa dasar-dasar fiskal negara berada di landasan yang betul?,” soalnya.
“Inilah realiti yang sedang dan bakal ditanggung rakyat,” tambah Saifuddin. @politiko.my