
KUALA LUMPUR | 12 Jan 26 — Kenyataan Ketua Pemuda BERSATU, Hilman Idham yang menggesa semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) diberi ruang menetapkan pendirian masing-masing sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), mencetuskan reaksi keras daripada tokoh-tokoh muda PAS.
Gesaan Hilman itu dilihat secara tidak langsung mempersoalkan pendirian Presiden PAS yang mahu Mesyuarat MT PN dipanggil segera bagi mengesahkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta melantik Pengerusi PN yang baharu.
Ketua Pemuda PN merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, tampil menyanggah kenyataan tersebut dengan mempertikai keikhlasan BERSATU dalam menghormati rakan komponen sebelum ini.
Beliau mempersoalkan sama ada prinsip “menghormati ketetapan parti rakan” benar-benar diamalkan ketika BERSATU mengumumkan calon Perdana Menteri secara unilateral tanpa rundingan bersama parti-parti komponen PN.
“Masa kamu umumkan pemimpin parti kamu sebagai calon tunggal Perdana Menteri, ada kamu hormat ketetapan parti-parti rakan? Umum pula di depan kawan-kawan dalam majlis yang kamu jemput mereka hadir,” tegasnya.
Afnan turut membangkitkan isu krisis politik di Perlis, apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU menandatangani Akuan Bersumpah (SD) yang membawa kepada kejatuhan Menteri Besar daripada parti rakan dalam PN.
Menurutnya, tindakan tersebut jelas menunjukkan sikap tidak konsisten dalam menghormati pendirian parti sekutu.
“Kena pada kawan tak apa, tak perlu hormat. Bila kena pada diri sendiri, baru desak supaya kawan hormat kita. Kalau nak minta dihormati, kenalah hormat kawan. Simple,” katanya.
Nada serupa turut disuarakan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, yang juga ADUN Sura. Beliau menegaskan bahawa proses dalaman PN sering diketepikan apabila keputusan memihak kepada BERSATU.
Mengimbau kembali episod pengumuman Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri sebelum ini, beliau mendakwa tiada mesyuarat PN, rundingan dengan PAS, atau usaha menghormati proses dalaman dilakukan.
“Umum dulu, maklum kemudian. PAS hanya diminta akur,” katanya.
Menurut beliau, seruan agar menghormati proses dan memberi ruang kepada parti komponen hanya muncul apabila kedudukan politik mula goyah dan sokongan tidak lagi kukuh.
“Kalau keputusan memihak, PAS tak perlu ditanya. Kalau tak memihak, barulah PAS dicari. Ini bukan sekadar soal maruah PAS, tetapi soal keikhlasan dalam pakatan,” ujarnya.
Dr Tengku Fakhruddin menegaskan bahawa PN bukan milik satu parti atau kelompok tertentu, sebaliknya sebuah gabungan yang menuntut kejujuran, rundingan dan saling menghormati sejak awal, bukan hanya ketika terdesak.
“Rakyat sedang memerhati. Hipokrasi politik biasanya tidak bertahan lama,” katanya.
Ketegangan terbuka ini memperlihatkan keretakan yang semakin jelas dalam PN, khususnya berkait isu kepimpinan tertinggi gabungan, sekali gus menambah tekanan agar keputusan muktamad dibuat secara telus dan dipersetujui bersama. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.