MCA Serang MyKiosk Untuk Keluar Kerajaan Sertai PN, Dakwa Nga

KUALA LUMPUR, 21 MEI 25 – Serangan berterusan pimpinan MCA terhadap projek MyKiosk dibawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) disifatkan sebagai cubaan untuk menjatuhkan imej kerajaan bagi membolehkan parti Cina itu menyertai Perikatan Nasional (PN), dakwa menterinya Nga Kor Ming.

Nga mendakwa, projek MyKiosk sengaja dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk memporak-perandakan Kerajaan Madani.

“Saya nampak cara mereka untuk jatuhkan imej kerajaan agar MCA dapat keluar dan sertai PN,” dakwa Kor Ming.

“Dari hari pertama saya perhatikan perangai dan tingkah laku mereka cuba mengutuk kerajaan, membuat apa sahaja demi kepentingan sempit mereka,” tambahnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pra-Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri dan Anugerah Kecemerlangan Media 2025 di sini pada Selasa.

Sebaliknya, Kor Ming menyatakan kesediaan untuk disiasat pihak berkuasa berhubung pelbagai tuduhan mengaitkannya dengan penganugerahan tender tersebut.

Pihaknya juga kaya Kor Ming kan mengambil tindakan dengan membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengheret pihak yang menabur fitnah.

“Saya hendak jemput Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) datang ke pejabat untuk minum teh.

“Saya juga telah arahkan pegawai KPKT untuk cari TikToker dan mereka yang sebar berita palsu,” katanya.

Kor Ming menjelaskan adalah amat mustahil 795 kontraktor yang mendapat projek berkenaan merupakan kroninya. Katanya lagi, sebanyak 1,185 kios disediakan di Johor yang mana ahli majlisnya terdiri daripada MCA.

“Paling banyak dapat adalah Johor. MCA itu tidur, nyanyuk atau tidak buat kerja? Dia yang tender, dia yang dapat award, dia yang marah.

“Kalau bodoh tidak mengapa, tapi jangan bodoh sombong,” katanya.

Tambah beliau, MyKiosk 2.0 telah ditambah baik dengan ketahanan tenaga solar sebanyak tiga kali ganda iaitu sehingga 12 jam berbanding sebelum ini hanya empat jam. Ia turut dilengkapi rak mudah laras, bumbung berkecerunan, selain tingkap hidraulik.

“Bumbung juga menggunakan material galvanized steel dan powder coated bagi memastikan kualiti yang lebih baik.

“Takkanlah harga kereta BMW sama dengan harga (Perodua) Kancil?

“Tukang fitnah itu hanya mahu menjadi perosak untuk menghalang Kerajaan Madani membantu rakyat,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share