Mengoptimumkan Peranan Wanita & Pemuda Wawasan Negara

Pada 1 September lalu, Presiden Parti Wawasan Negara Datuk Seri Hamzah Zainudin telah melantik Dayang Saniah Awang Hamid sebagai Ketua Pergerakan Wanita (Penaja) dan Muhammad Faiz Rahmad sebagai Ketua Pergerakan Pemuda (Penaja) parti.

Dayang ialah Ketua Bahagian (Penaja) Tanah Merah, Kelantan, manakala Faiz ialah Ketua Bahagian (Penaja) Hulu Langat, Selangor. Kedua-duanya ahli perniagaan, bekas guru, serta berpengalaman luas dalam politik dan badan masyarakat sivil.

Dalam konteks ini, elok kiranya kita berbicara soal mengoptimumkan peranan wanita dan pemuda dalam politik.

Ini kerana dalam sesetengah parti politik, dan juga masyarakat, ada pendapat yang tidak mengoptimum peranan wanita dan pemuda dalam politik.

Sebahagian pendapat tersebut bersifat stereotaip, iaitu idea konvensional atau tradisional tentang wanita dan pemuda yang lebih berupa penghakiman (judgement) atau persepsi yang berasaskan asumsi, bukannya ilmu atau fakta/perkara sebenar dan sahih.

Ada pendapat menyatakan wanita tidak boleh menjadi presiden parti dan Perdana Menteri. Alasannya ialah ayat, ‘lelaki adalah pemimpin terhadap wanita’ (An-Nisa: 34) dan hadis, ‘kaum dipimpin wanita tidak akan beruntung’ (Bukhari).

Tetapi, al Quran menceritakan kejayaan Ratu Balqis memimpin negerinya dengan bijak (An-Naml: 23-44). Juga peranan penting isteri-isteri Rasulullah SAW, contohnya, Khadijah (penasihat Rasulullah SAW) dan Aisyah (perawi hadis).

Bagi pemuda, ada pendapat menyatakan mereka kena tunggu giliran untuk menjadi pemimpin utama. Kerana mereka dianggap pemimpin masa hadapan (sahaja). Pada saya, pemuda adalah juga pemimpin hari ini, iaitu pemimpin generasi lebih muda daripadanya, pemimpin angkatannya dan rakan-pimpinan bagi yang lebih tua/utama.

Peranan penting pemuda disebut ayat, ‘sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman’ (Al-Kahfi: 13). Juga peranan penting pemuda-pemuda zaman Rasulullah SAW, contohnya, Ali bin Abi Thalib (peristiwa Hijrah) dan Usamah bin Zaid (panglima perang).

Namun, dalam mengoptimumkan peranan wanita dan pemuda, usahlah mengamalkan nepotisme. Contohnya, meletakkan isteri dan anak untuk menggantikannya sebagai presiden parti.

Dalam usaha membangun politik baru dan demokrasi matang, kita mesti mengutamakan ilmu, kemahiran dan pengalaman. Pemilihan dan pelantikan ke jawatan tertentu hendaklah dibuat berasaskan merit.

Wanita dan pemuda usahlah dihadkan pihak-pihak lain, atau menghadkan dirinya sendiri, dengan peranan-peranan konvensional sahaja, contohnya, wanita menyediakan makanan dan pemuda memasang bendera.

Dan usahlah hadkan mereka hanya pada jawatan-jawatan berlabel ‘wanita’ dan ‘pemuda’ sahaja.

Sebenarnya, wanita dan pemuda melengkapkan parti. Tetapi bukan sekadar melengkapkan angka semata-mata. Sebaliknya, mereka memantapkan parti dalam erti yang sebenar.

Sebagai pemantap parti, mereka tidak cukup sekadar menjadi generalist, tetapi harus menjadi pakar bidang kewanitaan dan kepemudaan. Juga pakar bidang-bidang lain yang melewati bidang kewanitaan dan kepemudaan.

Semua ini akan dapat direalisasikan sekiranya keseluruhan ahli parti menghayati budaya ilmu, penghakupayaan dan perwakilan wanita dan pemuda, serta syura (perundingan) yang progresif dalam kerangka governans parti politik yang berasaskan nilai.

Kesimpulannya, optimumkanlah peranan wanita dan pemuda selagi ia disahkan agama serta prinsip-prinsip intelektual dan intuitif.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Setiausaha Nasional Parti Wawasan Negara

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share