
KUALA LUMPUR | 15 Sep 26 — Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menggesa kementerian dan agensi penguatkuasaan berkaitan meneliti serta menjalankan siasatan sewajarnya berhubung kontroversi ucapan yang menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Beliau berkata, siasatan wajar dijalankan sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang, termasuk Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Aaron menegaskan bahawa kebebasan berucap, berpolitik atau berjenaka tidak bermaksud seseorang bebas melanggar sensitiviti agama dan kepercayaan orang lain.
“Agama bukan bahan jenaka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut mengambil maklum kesediaan individu terbabit untuk memohon maaf dan berharap kontroversi itu menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata, khususnya berkaitan agama dan kepercayaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.