
KUALA LUMPUR | 28 Ogos 26 — Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan asing, sebaliknya bebas daripada segala bentuk perhambaan manusia kepada manusia.
Dalam tulisan terbaharunya, Hadi berkata manusia hanya benar-benar merdeka apabila pengabdian diri ditujukan kepada Allah, manakala pemerintah pula wajib melaksanakan amanah dan berlaku adil.
Menurut beliau, Malaysia memang mencapai kemerdekaan daripada penjajah asing, tetapi pengaruh penjajahan masih kekal dalam pemikiran dan sistem kehidupan masyarakat.
Hadi mendakwa, penerimaan syarat-syarat yang ditetapkan penjajah ketika proses kemerdekaan menyebabkan negara masih belum merdeka sepenuhnya.
Beliau turut mengkritik tafsiran Islam yang menurutnya masih dipengaruhi istilah dan kerangka pemikiran penjajah, termasuk dalam politik, ekonomi, pendidikan dan pentadbiran.
Malah, Hadi menegaskan perjuangan Islam masih belum selesai kerana kesan penjajahan dikatakan terus mempengaruhi pemikiran umat Islam.
Beliau turut memberi contoh beberapa gerakan politik Islam di Turkiye, Indonesia, Iran, Palestin dan Afghanistan sebagai gambaran cabaran terhadap usaha mendaulatkan Islam dalam pemerintahan.
Bagi Hadi, kemerdekaan sebenar bukan sekadar mengibarkan bendera atau mengusir penjajah dari tanah air — tetapi membebaskan manusia daripada pengaruh dan pemikiran penjajahan, serta kembali kepada ketetapan Allah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.