
KUALA LUMPUR, 14 JUN 25 – Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, berkata tiada keperluan untuk mengambil keterangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung laporan yang dibuat Yusoff Rawther pada 12 Sept tahun lalu.
Menurutnya, laporan tersebut disiasat selari dengan dua kertas siasatan yang dibuka berkaitan penemuan dadah dan pistol yang didakwa ditemui dalam kereta milik Yusoff.
“Tiada keperluan untuk mengambil kenyataan perdana menteri dalam kes tersebut memandangkan tindakan tersebut telah diambil ketika aduan dibuat oleh Yusoff di peringkat awal.
“Pada peringkat itu, polis telah mengemukakan ke Pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan untuk kedua-dua kes tersebut dan berpuas hati setakat keterangan yang ada pada masa tersebut, adalah mencukupi untuk menuduh Yusoff tanpa memanggil mana-mana pihak lain untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Yusoff memfailkan saman sivil pada 2021 mendakwa Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya di pejabat Presiden PKR itu pada Oktober 2018.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini membebaskan Yusoff daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pucuk pistol tiruan, selepas Hakim Datuk Jamil Hussin memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan.
Hakim menyatakan pihak pendakwaan gagal membuktikan Yusoff mempunyai pengetahuan, jagaan dan kawalan terhadap dadah dan senjata palsu tersebut.
Yusoff dalam pembelaannya mendakwa ganja dan senjata palsu itu diletakkan untuk memerangkapnya. @politiko.my