
PARLIMEN | 22 Jan 26 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, hari ini membangkitkan persoalan terhadap garis panduan baharu penggunaan Pusat Media Parlimen, yang menurutnya boleh menjejaskan kebebasan bersuara wakil rakyat dan demokrasi negara.
Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, beliau berkata garis panduan itu mewajibkan semua Ahli Parlimen memohon kebenaran sekurang-kurangnya dua jam sebelum mengadakan sidang media, dengan pentadbiran Parlimen mempunyai kuasa untuk meluluskan atau menolak permohonan. Selain itu, setiap permohonan juga dikehendaki menyatakan tajuk topik yang akan dibincangkan.
“Jika ini proses baru yang diwajibkan, maksudnya Parlimen mengekang Ahli-Ahli Parlimen daripada bersuara mewakili rakyat,” kata beliau.
“Kenapa pula suara wakil-wakil rakyat mahu disaring oleh Parlimen? Bukankah ini satu bentuk sekatan kebebasan bersuara untuk mencacatkan demokrasi negara kita?”
MP Tasek Gelugor menekankan bahawa perkembangan ini bukanlah tanda positif bagi demokrasi Malaysia dan menyeru agar kebebasan ahli Parlimen dalam berkomunikasi dengan media dan rakyat tidak dibataskan oleh prosedur yang terlalu ketat.
Satu garis panduan telah dikongsikan dikalangan pengamal media pagi ini, dimana antara peraturan yang ditetapkan dibawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan rakyat ialah Peraturan Mesyuarat 93 yang melarang atau pengedaran sebarang kenyataan atau dokumen tanpa kebenaran dewan dan Peraturan Mesyuarat 94 yang menetapkan bahawa hanya laporan rasmi yang diluluskan oleh Yang Di-Pertua dapat diterbitkan.
Maklum balas dari kalangan wartawan turut mempersoalkan perkara ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.