Muhyiddin Digesa Turut Lepaskan Jawatan Presiden BERSATU

KUALA LUMPUR, 30 DIS 25 — Presiden NGO Perkasa, Syed Hassan, berpandangan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja wajar melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), malah turut meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menyelesaikan kemelut dalaman gabungan itu.

Menurut Syed Hassan, sekiranya Muhyiddin kekal sebagai Presiden Bersatu, ia berpotensi menyebabkan pertindihan kuasa dan tidak menyelesaikan masalah dalaman PN, khususnya ketika gabungan itu perlu memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Beliau mencadangkan agar jawatan Presiden Bersatu diserahkan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang menurutnya mempunyai gaya kepimpinan lebih inklusif dan berunding, sekali gus memudahkan kerjasama antara parti-parti komponen PN.

“Datuk Seri Hamzah lebih mesra, bertimbang rasa, gemar bermesyuarah dan berbincang, serta tidak membuat keputusan secara bersendirian sehingga menyinggung perasaan rakan komponen,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Hassan turut menyatakan keyakinan bahawa Hamzah berupaya menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN, dan langkah tersebut akan membantu memperkukuh semula kesepaduan gabungan menjelang PRU16.

Dalam pada itu, beliau berpendapat Muhyiddin wajar bersara sepenuhnya daripada politik, mengambil kira faktor usia serta sumbangan panjang beliau kepada negara. Katanya, jasa Muhyiddin sejak awal penglibatan dalam politik tidak boleh dinafikan dan seharusnya dikenang secara positif.

“Cukuplah sekadar itu, beliau dikenang sebagai antara pemimpin hebat negara ini. Usahlah rosakkan legasi tersebut, berilah peluang kepada pemimpin lain menerajui Bersatu,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan dan ahli Bersatu akan terus mengenang jasa Muhyiddin, sambil menzahirkan harapan agar parti itu dapat diperkukuh bagi menghadapi PRU16. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share