
KUALA LUMPUR, 7 Okt 25 — Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal untuk menggugurkan empat tuduhan salah guna kedudukan membabitkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM200 juta, lapor Harian Metro.
Sehubungan itu, presiden Bersatu yang juga bekas perdana menteri itu akan diteruskan dengan perbicaraan, yang mana pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi untuk memberikan keterangan.
Ia susulan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dihantar pasukan peguam Ahli Parlimen Pagoh itu yang diketuai peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik itu untuk menggugurkan kesemua tujuh tuduhan berkenaan pada 19 Ogos lalu.
Pada sebutan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Tinggi, AGC menolak representasi itu pada 22 Ogos lalu.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan bahawa pembelaan sudah menerima senarai saksi, bagaimanapun memerlukan pernyataan saksi bagi menyediakan pembelaan.
Wan Shaharudin kemudian berkata, pendakwaan memerlukan tarikh perbicaraan untuk menghimpunkan semua dokumen bagi diserahkan kepada peguam bela.
Hakim K Muniandy kemudian menetapkan 10 November ini bagi sebutan kes sebelum mahkamah memutuskan tarikh perbicaraan.
Seperti pada prosiding hari ini, kehadiran Muhyiddin turut dikecualikan pada tarikh sebutan nanti. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.