Pamer Harga Ubat : KPDN Terus Pantau Hari Pertama Ketika Cuti Umum

KUALA LUMPUR, 2 MEI 25 – Pasukan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dikatakan membuat pemantauan ke atas klinik swasta pada hari pertama pelaksanaan inisiatif Penandaan Harga Ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti yang berkuat kuasa 1 Mei, semalam.

Seorang pengguna dalam kumpulan tertutup komuniti terbesar doktor perubatan di platform media sosial dengan hampir 17,000 ahli di Facebook mendakwa pegawai kementerian itu hadir ke kliniknya ketika cuti umum Hari Pekerja semalam.

“Bekerja ketika cuti umum. Tanya harga ubat dan kenapa tak dipamerkan!”, kata seorang individu dalam kumpulan tersebut, seperti dipetik CodeBlue.

“Mereka berikan peringatan dan akan datang semula selepas tiga hari, saman kalau tidak pamer…jangan main-main, rajin kerajaan buat kerja ya, cuti umum pun turun padang.”

Individu berkenaan bagaimanapun tidak berkongsi butiran lanjut berkenaan lawatan tersebut, sama ada melibatkan kehadiran pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025 diwartakan dan diterbitkan dalam portal Jabatan Peguam Negara sehari, sebelum dikuatkuasakan pada 1 Mei.

Inisiatif itu bertujuan memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga yang terbaik dalam merancang perbelanjaan ubat-ubatan.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723),” kata kenyataan bersama KPDN dan KKM sebelum ini.

Skop penandaan harga ubat merangkumi semua ubat untuk kegunaan manusia termasuk ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi atau tidak, ubat melalui kaunter, ubat tradisional, suplemen kesihatan dan sediaan yang dibancuh. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share