Muhyiddin Gesa Kerajaan Jangan Jadi ‘Lintah’ Hisap Darah Rakyat

KUALA LUMPUR, 17 JUN 25 – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan membatalkan peluasan skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dan cadangan kenaikan tarif elektrik.

Kerajaan kata bekas perdana menteri itu mesti mencari kaedah lain untuk mengatasi masalah fiskal negara, bukan dengan berterusan membebankan rakyat.

“Tugas kerajaan ialah meringankan beban rakyat, bukan menambah beban mereka.

“Jika perkara yang paling asas ini pun tidak dapat dilaksanakan, maka kerajaan Madani telah gagal dan wajar ditolak oleh rakyat,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rancangan kerajaan itu adalah petanda kerajaan gagal mengurus ekonomi dengan baik.

“Apabila ekonomi tidak diurus dengan baik, hasil negara berkurang.

“Dalam keadaan ini, kerajaan menjadi seperti lintah yang setiap hari menghisap darah rakyat dengan mengenakan pelbagai cukai selain menghapuskan subsidi.

“Ini bukanlah sebuah kerajaan yang cekap dan prihatin kepada rakyat,” tegas nya.

Muhyiddin sehubungan itu mencadangkan kerajaan mengkaji untuk mengembalikan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar yang munasabah serta tidak membebankan rakyat.

Namun katanya ia harus dipertimbangkan selepas mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh.

“Saya percaya SST dalam bentuk yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini adalah lebih buruk kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara berbanding dasar GST yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share