
KUALA LUMPUR, 16 Ogos 25 – Dasar berasaskan kaum (race-based policy) dan dasar berasaskan keperluan (need-based policy) harus bergerak seiringan dan tidak seharusnya dilihat sebagai pertentangan, kata Putra.
Ketua Penerangan Putra Shahrulufti Sharif berkata, kedua-dua pendekatan tersebut akan saling melengkapi jika dilaksanakan secara jujur dan berpaksikan fakta demografi.
“Malaysia bukan negara 10 bilionair yang perlu dilayan sama rata. Ia adalah negara dengan majoriti rakyat Melayu dan Bumiputera yang masih bergelut dengan jurang ekonomi, pendidikan, dan pemilikan aset.
“Statistik menunjukkan bahawa majoriti B40 adalah Bumiputera. Maka, dasar berasaskan keperluan yang benar-benar memfokus kepada golongan memerlukan tetap akan memberi manfaat kepada Bumiputera.
“Ini bukan soal pilih kasih kaum, tetapi soal matematik dan realiti sosial,” katanya, dalam satu kenyataan.
Tambahnya, dasar berasaskan kaum masih relevan dalam konteks Malaysia kerana ia bukan semata-mata soal identiti, tetapi soal mengangkat kelompok majoriti yang masih ketinggalan.
“Kesamarataan sebenar ialah memberikan peluang dan sumber mengikut nisbah penduduk, bukan memotong sama rata tanpa mengambil kira latar belakang demografi,” katanya.
Putra juga katanya menolak usaha halus menghapuskan identiti Melayu dan Bumiputera dalam dasar awam atas nama “neutraliti” atau “keterangkuman”.
“Neutraliti yang membutakan diri terhadap realiti sosial adalah bentuk penindasan baharu,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.